Antarabangsa

‘Pengantin’ Remaja ISIS Dari Jerman Mungkin Akan Dihukum Mati

Perdana Menteri Iraq mengatakan bahawa ‘pengantin jihadis’ dari Jerman itu mungkin menghadapi hukuman mati disebabkan penglibatannya dengan Isis.

Nasib Linda Wenzel yang berusia 16 tahun kini berada di tangan proses peradilan Iraq, kata Perdana Menteri Haider al-Abadi.

Remaja itu dijumpai bersembunyi di ruang bawah tanah di Mosul oleh pasukan Iraq dalam satu serangan pada bulan Julai.

Dia melarikan diri dari rumahnya di Jerman untuk menyertai ISIS selepas bercakap dengan seorang ahli ISIS dalam talian dan dipercayai telah berada di Iraq hampir setahun.

Dia kini berada di penjara Baghdad dan sedang menunggu perbicaraan untuk menentukan sama ada dia menghadapi hukuman gantung.

“Di bawah undang-undang tertentu, mereka bertanggungjawab atas tindakan mereka terutama jika perbuatan itu merupakan aktiviti jenayah yang membunuh orang yang tidak bersalah,” kata Perdana Menteri.

Iraq telah melakukan sekurang-kurangnya 88 hukuman gantung sampai mati pada tahun 2016 dan telah membunuh ramai orang atas kesalahan keganasan sejak merampas semula Mosul dari ISIS.

Jika perbicaraan dilakukan di Jerman, Linda boleh menghadapi hukuman penjara antara satu hingga sepuluh tahun. Kementerian Luar Jerman sebelum ini berkata mereka sedang berusaha mengembalikan remaja dan tiga wanita Jerman lain yang dipenjarakan di Iraq, tetapi kini tiada perjanjian ekstradisi antara kedua-dua negara.

Pasukan perisikan Iraq memberitahu Associated Press bahawa Linda didakwa bekerja dengan “pasukan polis” ISIS.

Amir Musawy, seorang wartawan Iraq yang bertemu dengan remaja Jerman tersebut selepas dia ditangkap, berkata dia “letih” dan mengalami kecederaan kaki.

“Dia hanya memberitahu bahawa dia mahu pulang ke rumah” katanya.

Beliau menambah bahawa remaja itu memakai tudung ketika mereka bertemu dan kelihatan masih berada di bawah pengaruh jihadis.

Linda, yang berasal dari bandar kecil Saxony, sedang ditahan di Baghdad bersama-sama beratus-ratus wanita asing yang lain yang ada kaitan dengan ISIS yang disyaki melakukan keganasan, kata pegawai Iraq.

Dia berusia 15 tahun ketika dia melarikan diri dari tanah airnya dan memberitahu wartawan pada bulan Julai bahawa dia menyesal pergi ke Iraq.

Dia berkata ia mengambil masa sebulan untuk perjalanan ke Turki, melalui Syria dan ke Iraq untuk berkahwin dengan seorang ahli ISIS sebelum dibawa ke Mosul, di mana suaminya terbunuh tidak lama selepas mereka tiba.

Perdana Menteri berkata pasukan Iraq menahan 1,333 wanita dan kanak-kanak yang menyerah diri kepada pasukan Kurdish semasa serangan untuk membebaskan Mosul.

Terdapat juga wanita-wanita bukan Iraq. Mereka datang dari Perancis, Belgium, Syria dan Iran.

Ramai daripada mereka yang ditahan di kem tidak bersalah atas apa-apa jenayah, kata Encik al-Abadi, sambil menambah bahawa kerajaannya berkomunikasi dengan negara asal mereka untuk “mencari jalan untuk menyerahkan mereka”.

Setakat ini, Iraq telah memulangkan kurang daripada 100 orang, tetapi Perdana Menteri berkata: “Kami tidak berminat untuk menyimpan keluarga dan kanak-kanak di negara kami apabila negara mereka bersedia untuk membawa mereka pulang.”

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close