AntarabangsaIsu SemasaPolitik

China Akan Pinda Perlembagaan Parti Komunis

Parti Pemerintah China, Parti Komunis dijangka akan meminda perlembagaannya dalam kongres parti yang akan diadakan pada bulan depan, untuk mengukuhkan lagi kedudukan parti dan pentadbiran parti.

Agensi berita Japan Times yang memetik laporan media tempatan China, Xin Hua, menyatakan ini mungkin petanda Presiden Xi Jinping ingin menyemadikan doktrin ideologinya dalam piagam itu.

Sejak mula memegang jawatan tertinggi 5 tahun lalu, Xi telah mengukuhkan kuasanya dengan pantas.

Beliau mengambil beberapa langkah penting seperti mengetuai rancangan pembaharuan ekonomi negaranya dan melantik dirinya sendiri sebagai ketua komander tentera, walaupun beliau sudah pun menjadi ketua Suruhanjaya Ketenteraan Pusat yang memberinya kawalan penuh ke atas pasukan tentera.

Politburo, salah sebuah badan penguasa elit dalam parti itu, mengemukakan draf pemindaan perlembagaan untuk dibincangkan di kongres nanti, termasuk “pandangan teori utama dan pemikiran strategik utama.”

Walaupun masih belum ada laporan terperinci mengenai pemindaan itu, penanda aras kepada kuasa Xi adalah sama ada beliau mampu ‘mengukir’ namanya di dalam perlembagaan sekali gus mengangkat dirinya setanding dengan pemimpin-pemimpin terdahulu seperti yang tertakluk dalam Pemikiran Mao Zedong dan Teori Deng Xiaoping.

Dua orang pemimpin sebelum Xi, iaitu Jiang Zemin dan Hu Jintao, telah meminda perlembagaan parti untuk menerapkan ideologi mereka tanpa melibatkan nama mereka secara langsung.

Jiang mewujudkan konsep “Tiga Perwakilan,” yang memartabatkan golongan usahawan persendirian, manakala Hu pula menerapkan doktrin ekonominya dalam “pembangunan saintifik”.

Bagi Xi pula, partinya telah mengusahakan ideologi “Empat Komprehensif” beliau, yang merujuk kepada China yang bekerja dengan “komprehensif” untuk mewujudkan masyarakat sederhana yang makmur dan mengukuhkan pembaharuan, kedaulatan undang-undang dan disiplin parti.

Walau bagaimanapun, masih susunan kata yang akan diletakkan dalam perlembagaan baru untuk mencerminkan pemikiran Xi masih belum jelas setakat ini.

“Meminda perlembagaan di CPC National Congress ke-19 berlandaskan asas situasi dan tugas baru akan mempromosikan pembangunan sosialisme dengan ciri-ciri China dan pembangunan Parti,” kata laporan Xin Hua.

Ujar laporan itu lagi, pemindaan itu perlu memasukkan teori-teori penting serta pemikiran strategik menerusi laporan kerja yang lengkap di permulaan sesi kongres itu nanti.

“Pemindaan ini akan menjadikan Parti Komunis lebih cergas, kuat, dan membolehkannya untuk berhubung rapat dengan rakyat,” tambah Xin Hua.

Draf pemindaan perlembagaan tersebut akan dikemukakan pada 11 Oktober nanti, dan kira-kira 200 pemimpin kanan parti akan memuktamadkan agenda untuk kongres itu.

 

 

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker