Hiburan

Pelakon Malaysia Dan Bollywood Gabung Bakat

Filem terbaharu yang bakal ditayangkan di pawagam iaitu “I’m Not A Terrorist” (Saya Bukan Pengganas) berniat untuk menjelaskan bahawa agama Islam bukanlah agama yang berkaitan dengan keganasan, sebaliknya menekankan pentingnya keamanan.

Filem ini menyaksikan gabungan antara pelakon Malaysia dan pelakon dari Bollywood. Pelakon filem berkenaan ialah Afiq Muiz, Chacha Maembong, Khir Mohd Nor dan penampilan istimewa Datuk Jalaluddin Hassan serta bintang filem Bollyword Gulshan Grover, Rahul Dev dan  Farida Jalal.

Penggambaran dijalankan selama 46 hari di Kuala Lumpur dan Kashmir dan membabitkan kos  RM5.2 juta.  Filem terbitan White Merpati Entertainment itu bakal ditayangkan di pawagam utama di seluruh negara bermula  5 Oktober ini.

Pengarah filemnya, Arjin Upal berkata, “Walaupun berlaku tohmahan mengatakan Islam itu ganas namun melalui filem ini kita nak ‘cleaning out’ (membersihkan) tentang agama Islam.”

Pelakon utama filem terbabit, Afiq Muiz berkata filem itu adalah bagi menegakkan ajaran agama Islam yang sebenar dan bukannya agama yang menyokong keganasan.

Pelakon Bollywood, Gulshan Grover berkata, ini kali pertama dia menjayakan filem yang menggabungkan para pelakon dari Malaysia dan India dan memainkan watak ‘pengganas’.

“Untuk memainkan watak seorang lelaki yang jahat, anda perlu menjadi pelakon yang baik kerana masa skrin anda kurang, anda perlu mencipta magik itu, mewujudkan rasa takut itu, semoga apabila anda menonton filem ini, anda dapat menyedari bahawa ini adalah lakonan,” katanya.

(Dari kiri) Chacha Maembong, Gulshan Grover dan Farida Jalal

Chacha Maembong, adik kepada Emma Maembong, jarang dilihat di acara hiburan, namun wanita ini penuh berbakat.

“Walaupun saya tak popular tapi ada yang nampak bakat lakonan saya. Sebenarnya penglibatan saya bermula dengan sesi uji bakat seperti pelakon lain” katanya.

“Tidak lama selepas uji bakat, penerbit, Baldev Singh memanggil saya semula ke pejabat dan beritahu saya terpilih.

“Kemudian, bila saya dapat tahu filem ini akan ditayangkan di India juga, saya harap ini permulaan untuk saya melebarkan nama di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Pelakon Bollywood, Farida Jalal yang sering berlakon sebagai ibu kepada Shah Rukh Khan di dalam filem berkata dia juga sangat berbesar hati kerana berpeluang bekerjasama dengan produksi luar dan berharap peluang sebegini akan datang lagi pada masa depan, lapor Sinar Harian.

Farida mengakui suka Malaysia dan menganggap perlu menguasai bahasanya supaya memudahkannya berbual.

“Rakyat Malaysia terutama generasi muda juga sangat baik. Mereka sangat mengutamakan saya dan mementingkan keselesaan dari mula saya tiba.

“Insya Allah kalau ada rezeki saya mahu ke sini lagi selepas ini,” ujarnya yang menggalakkan pelakon muda untuk berani melakukan apa yang mereka mahu dan jangan menanti waktu serta berfikir untuk melakukan apa yang mereka mahu.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close