AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Iran Cipta ‘Bapa Segala Bom’

Iran telah menghasilkan bom seberat 10-tan yang dikatakan “sama hebat” dengan ‘Ibu Segala Bom’ yang dikenali sebagai Massive Ordnance Air Blast bomb (MOAB), ciptaan Amerika Syarikat (AS).

Menurut Panglima Angkatan Udara Pengawal Revolusi Iran, Jeneral Amir Ali Hajizadeh, bom tersebut boleh dilancarkan daripada pesawat dan ia boleh menyebabkan kehancuran luar biasa.

“Bom ini berada dalam tangan kami, ia boleh dilancarkan daripada pesawat dan ia sangat merbahaya,” kata beliau.

Memetik laporan agensi berita FARS, Hajizadeh menyifatkan bom ciptaan negaranya itu sebagai “Bapa Segala Bom”, dan Iran menghasilkan bom ini susulan ketegangan yang semakin meningkat di antara mereka dan AS.

Massive Ordnance Air Blast Bomb (MOAB) yang juga dikenali sebagai ‘Ibu Segala Bom’ ciptaan Amerika Syarikat – Sumber: www.ibtimes.co.in

Dalam pada itu, Tentera Udara AS telah melepaskan MOAB menggunakan pesawat MC-130 ke atas terowong-terowong di wilayah Nangarhar, Afghanistan pada bulan April sekali gus mengorbankan nyawa 90 puluh orang.

MAOB merupakan senjata bukan nuklear yang terbesar pernah digunakan dalam pertempuran oleh tentera AS, dan letupannya bersamaan dengan 11 tan TNT dan radius letupan itu berluas 1 batu.

Awal bulan ini, media Iran mendakwa bahawa ketenteraan negara itu telah berjaya menjalankan ujian sistem pertahanan peluru berpandu pertama mereka.

Dua tahun lalu pula (2015), sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap Iran oleh AS telah ditarik semula selepas kerajaan negara itu bersetuju untuk menyekat program pembangunan nuklear mereka.

Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang ditandatangani oleh 5 anggota majlis keselamatan negara, meminta supaya Iran “tidak melaksanakan sebarang aktiviti yang berkaitan dengan peluru berpandu yang mampu membawa senjata nuklear, termasuk pelancaran menggunakan teknologi peluru berpandu balistik.”

Oleh itu, Iran mematuhi perjanjian yang ditetapkan oleh resolusi PBB itu, namun pentadbiran Presiden Donald Trump sering kali mendakwa bahawa Iran melanggar syarat-syarat perjanjian tersebut.

“Pada pandangan kami, Iran secara jelas tidak memenuhi jangkaan Pelan Tindakan Komprehensif Bersama ini,” kata┬áSetiausaha Negara Amerika Syarikat Rex Tillerson dalam sebuah sidang media di London, minggu lepas.

Tillerson berkata, tindakan Iran mengancam keselamatan negara-negara lain di dalam rantau itu dan serta AS.

Sebagai langkah tindak balas, Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei menyatakan bahawa negaranya “tegas dengan pendirian mereka dan sebarang langkah yang salah oleh rejim dominan (AS) mengenai perjanjian nuklear akan menghadapi reaksi Republik Islam.”

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button