Bisnes & Ekonomi

Panduan Menguruskan Gaji Pertama

Menerima gaji pertama sememangnya mengujakan kerana ia adalah wang pertama dari hasil titik peluh anda sendiri. Kebanyakan orang memilih untuk menggunakan gaji pertama mereka dengan membelanja rakan-rakan atau ahli keluarga dan ada juga yang menggunakannya untuk membeli rumah atau kereta idaman mereka.

Namun, harus kita ingati bahawa gaji pertama adalah permulaan kepada masa depan yang cerah. Jika tersilap percaturan, boleh gelap masa depan anda. Ikuti tip-tip untuk menggunakan gaji pertama dengan bijak ini agar anda tidak tersilap langkah dalam berbelanja.

 

Bajet

Setelah mengetahui berapa banyak yang anda peroleh, inilah waktunya untuk menyediakan belanjawan bulanan pada aliran tunai anda. Apakah perbelanjaan bulanan anda? Ini termasuk sewa, tambang bas, makan dan pakaian. Setelah mengetahui jumlah perbelanjaan bulanan, peruntukkan pula jumlah wang yang ingin anda simpan.

Jelaskan hutang

Peraturan umum adalah jangan menghabiskan lebih dari 30 peratus pendapatan anda untuk membayar hutang. Anda perlu merancang untuk membayar balik semua hutang dengan cara yang selesa tanpa menggunakan terlalu banyak pendapatan yang diperoleh. Jangan sesekali tangguhkan pembayaran hutang kerana anda akan terbeban di kemudian hari.

Akaun kecemasan

Perkara-perkara di luar jangkaan seperti kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa. Oleh itu, amat penting bagi anda untuk mempunyai sejumlah wang peruntukan bagi menangani musibah yang berlaku. Simpan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan bersih anda untuk waktu kecemasan.

Rumah atau kereta?

Kebanyakan yang menerima gaji pertama akan tergesa-gesa membeli rumah atau kereta. Seeloknya, simpan dahulu wang anda sehingga pendapatan dan wang simpanan yang anda miliki telah stabil. Untuk permulaan, sewa rumah yang murah atau tinggal dahulu di rumah keluarga. Memiliki kereta juga bukanlah sesuatu yang mustahak jika anda boleh menaiki kenderaan awam atau boleh mengurangkan kos perbelanjaan dengan menaiki motosikal.

Keperluan dan kehendak

Menerima gaji pertama semestinya membuatkan anda teruja untuk membeli semua yang anda impikan. Namun, anda perlu bijak membezakan antara keperluan dan kehendak supaya anda tidak menghabiskan kesemua gaji pertama anda dengan memenuhi kehendak anda seperti menukar telefon bimbit atau membeli pakaian yang terlalu banyak.

 

Sumber: nation.co

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close