AntarabangsaIsu Semasa

Seluruh Pasukan Polis Bandar Caloocan Digantung Tugas

Pengarah National Capital Region Police Office, Oscar Albayalde, telah mengarahkan supaya semua 1,200 anggota polis di Caloocan City di Metro Manila, Filipina, digantung tugas sebagai tindak balas terhadap beberapa siri kontroversi, termasuk pembunuhan dua orang remaja.

Albayalde berkata, semua anggota polis di bandar itu perlu menjalani semula latihan dan orientasi sebelum ditugaskan semula ke unit plis lain, tidak semestinya di Manila.

“Kita akan bermula dengan dengan polis di presint 2 dan 7,” katanya.

Memetik laporan South China Morning Post, kemua kakitangan di ibu pejabat polis Caloocan dan 7 presint yang terlibat akan digantikan buat sementara waktu dengan batalion keselamatan awam serantau, iaitu sebuah unit pertempuran yang terlatih.

Menurut Albayalde, perubahan ini akan dilakukan secara berperingkat mengikut kumpulan.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menyatakan berapa lama sesi latihan semula akan diadakan serta berapa lama waktu yang akan diambil untuk mengganti seluruh pasukan polis di Caloocan.

Ini juga merupakan pertama kali dalam sejarah seluruh unit polis di sesebuah bandar digantungkan tugas sejak Presiden Duterte melaksanakan kempen brutalnya untuk memerangi dadah.

Langkah drastik untuk meneliti kegiatan polis di bandar itu susulan pembunuhan remaja berusia 17 tahun bernama Kian Loyd Delos Santos pada bulan lalu, di mana polis mendakwa ia adalah sebahagian daripada operasi anti-dadah mereka.

Saksi yang menyaksikan sendiri insiden pembunuhan itu berkata, Delos Santos telah ditembak di bahagian kepalanya dan keterangan saksi juga disokong oleh rakaman CCTV yang merekod insiden berkenaan.

Peguam dan keluarga mangsa berkata, di dibunuh dengan kejam, sementara tiga pegawai polis yang terlibat mendakwa bahawa mereka menembaknya sebagai tindakan “mempertahankan diri”.

Duterte juga telah mengarahkan siasatan yang menyeluruh terhadap pembunuh ini dan memberi amaran kepada polis bahawa beliau tidak akan bertoleransi dengan salah guna kuasa.

Dalam pada itu, seorang lagi remaja, Carl Arnaiz turut mengalami nasib yang sama, di mana dia dibunuh selepas dituduh ingin merompak seorang pemandu teksi.

Tindakan menggantung tugas semua polis di bandar itu juga dilaksanakan kerana terdapat beberapa anggota polis presint 4 di Caloocan yang didakwa menyerbu rumah seorang wanita warga emas dan mencuri wang, dan kejadian itu dilaporkan berjaya dirakam menggunakan CCTV.

Video tersebut dimuat naik di media sosial dan menjadi viral, dan itu ternyata mencetuskan kemarahan pegawai-pegawai kanan polis.

Oleh itu, Albayalde dengan segera mengarahkan pemecatan itu dilaksanakan.

“Daripada apa yang kita telah lihat apa yang telah dilakukan atau akn terus dilakukan oleh orang lain, jadi ia adalah wajar untuk mengambil langkah awal untuk mengelak insiden yang serupa,” kata Albayalde.

Beliau turut memberi amaran kepada pasukan polis di daerah-daerah lain bahawa mereka boleh berhadapan nasib yang sama sekiranya menyalah guna kuasa.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close