AntarabangsaIsu Semasa

Sanggup Gadai Hak Mengundi Untuk ‘Langsaikan’ Hutang Pengajian

Semata-mata untuk ‘melangsaikan’ terus hutang pinjaman pengajian, setengah golongan milennial di Amerika Syarikat (AS) menyatakan bahawa mereka sanggup menggadaikan hak mereka untuk mengundi dalam pilihan raya.

Menurut Jabatan Pendidikan AS, jumlah keseluruhan hutang pengajian di negara itu telah melonjak naik pada tahap yang terlalu tinggi, iaitu AS$ 1.33 trilion (RM 5.5 trilion).

Ini menyebabkan ramai rakyat menghadapi kesukaran untuk membayar semula hutang mereka itu, dan ia selalunya akan memakan masa berpuluh tahun untuk menyelesaikannya.

Berdasarkan kajian baru daripada laman web kewangan peribadi Credible, 50% daripada belia berusia 18 hingga 34 tahun berkata, mereka sanggup menggadaikan hak mereka untuk mengundi dalam dua Pilihan Raya Presiden yang akan datang untuk bebas daripada hutang pengajian sepenuhnya.

Selain daripada itu, 44% pelajar pula sanggup melihat pemansuhan perkhidmatan e-hailing seperti Uber atau Lyft untuk tujuan yang sama, manakala hanya 8.2% yang sanggup membayar penuh hutang mereka tanpa menggadaikan apa-apa perkara lain.

Memetik laporan Independent UK, berita mengenai perkara ini didedahkan sehari selepas The Associated Press memperolehi dokumen-dokumen mahkamah yang menunjukkan bahawa 65,000 bekas pelajar, yang mendakwa mereka telah ditipu oleh kolej-kolej yang memfokuskan keuntungan.

Para pelajar ini juga dalam keadaan yang ‘terabai’ kerana Jabatan Pendidikan masih belum mengambil sebarang tindakan terhadap permohonan mereka, yang mahukan pengecualian hutang pinjaman.

Sementara itu, presiden Donald Trump juga telah mengarahkan penulisan semula peraturan-peraturan yang dirangka di bawah pentadbiran bekas presiden Barack Obama yang memberikan perlindungan lebih baik kepada para pelajar.

Awal tahun ini, universiti milik Trump yang dinamakan atas namanya sendiri, telah membayar AS$ 25 juta (RM 104.7 juta) untuk menyelesaikan tuduhan yang mendakwa ia menipu para pelajar.

Sejak satu dekad lepas, pelajar-pelajar United Kingdom (UK) juga mengalami kesukaran untuk melangsaikan hutang pengajian mereka kerana peningkatan yuran yang mendadak.

Pada bulan Januari, pakar-pakar daripada organisasi Intergenerational Foundation menganggarkan secara purata bahawa graduan akan masih berhutang sebanyak £60,000 (RM 336,000) dalam yuran pengajian sahaja, walaupun selepas 30 tahun menamatkan pengajian mereka di universiti.

 

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker