AntarabangsaIsu Semasa

Tangkapan Suspek Pengganas Di UK Meningkat

Jumlah suspek yang ditahan atas kesalahan berkaitan keganasan di United Kingdom menyaksikan peningkatan drastik iaitu sebanyak 68%.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, sebanyak 379 tangkapan telah dilaksanakan di Britian dalam tempoh 12 bulan.

Angka tersebut termasuk pelbagai tangkapan yang dilakukan susulan serangan pengganas di London dan Manchester beberapa bulan lalu.

Daripada kesemua 379 tangkapan itu sejak tahun lepas, 12 tangkapan mempunyai kaitan dengan serangan di Westminster, insiden pengeboman Manchester Arena (23), dan serangan London Bridge (21).

Serangan di Finsbury Park yang berlaku pada bulan Jun pula hanya menyaksikan satu tangkapan sahaja.

“379 tangkapan ini adalah 68% lebih tinggi berbanding 226 orang yang ditahan dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Ia adalah jumlah tangkapan yang tertinggi dalam setahun sejak tangkapan berkaitan keganasan mula direkodkan pada tahun 2001 selepas serangan Menara Berkembar dan Pentagon di Amerika Syarikat,” kata Mark White, wartawan hal ehwal dalam negeri Sky News.

Ujarnya lagi, ini juga merupakan tahun yang “luar biasa” dari segi cara polis dan perkhidmatan perisikan melaksanakan operasi dan mengumpul maklumat risikan dalam usaha menegakkan keadilan selepas tiga insiden serangan pengganas berturut-turut.

Dalam pada itu, 54 orang daripada semua suspek yang ditahan adalah wanita, di mana 17 daripada angka tersebut adalah wanita di bawah umur 18 tahun.

Penahanan suspek berkulit putih pula turut menyaksikan peningkatan drastik sebanyak 92% (daripada 66 orang hingga 127 orang).

White menjelaskan: “Sering kali apa yang anda lihat dalam serangan pengganas, ramai orang yang ditahan pada asalnya – mereka mungkin ahli keluarga, rakan, atau kenalan seseorang yang telah melaksanakan serangan – tetapi selepas soal siasat dan siasatan menyeluruh, golongan ini selalunya akan dibebaskan tanpa dakwaan.”

“Sebab itu kita lihat jumlah yang sangat tinggi,” tambahnya lagi.

Pihak polis dan agensi perisikan MI5 kini sedang menjalankan 500 siasatan yang melibatkan 3,000 individu.

Sejak 4 tahun lalu, 19 rancangan pengganas telah berjaya ditumpaskan, termasuk 6 serangan sejak insiden Westminster pada bulan Mac.

Kini, tahap ancaman keganasan global di UK berada pada paras yang teruk, dan ini bermakna terdapat kemungkinan besar sesuatu serangan itu boleh berlaku.

 

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close