AntarabangsaIsu SemasaPolitik

“Saya Akan Memerintah Lagi 10 Tahun, Jangan Cemburu”

Minggu lepas, Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen berikrar untuk terus memerintah negaranya selama 10 tahun lagi.

Memetik laporan New York Times, kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Hun Sen beberapa hari selepas penahanan pesaing politiknya.

Pemerintahan lagi 10 tahun bermakna perdana menteri itu akan bertanding dalam pilihan raya untuk dua penggal lagi (1 penggal bersamaan 5 tahun), dan selepas itu baru beliau akan “mempertimbangkan” untuk bersara.

“Sebelum ini, saya sangat ragu-ragu tentang bila saya akan meletak jawatan, tetapi selepas menyaksikan tindakan belot segelintir warga Kemboja sejak beberapa hari ini, saya memutuskan untuk meneruskan tugas saya untuk 10 tahun lagi,” – Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 10,000 pekerja kilang pakaian di kawasan pinggiran di Phnom Penh ketika menyampaikan ucapannya pada Rabu lepas.

Difahamkan, Hu Sen telah memerintah Kemboja selama 32 tahun sekali gus menjadikan beliau perdana menteri yang paling lama berkhidmat di dunia.

Pada tahun 2007, beliau pernah meluahkan hasrat untuk bersara pada usia 90 tahun, , tetapi menarik semula kenyataan itu 2 tahun lepas.

“Boleh saya minta semua warga asing, tolong jangan cemburu dengan saya kerana saya menjadi perdana menteri yang paling lama berkhidmat di dunia,” ujar beliau.

Selepas parti pembangkang, Cambodia National Rescue Party memberi saingan hebat pada pilihan raya umum tahun 2013, Hun Sen dan parti pimpinannya, Cambodian People’s Party, telah berusaha untuk ‘melumpuhkan’ pesaing mereka menjelang pilihan raya seterusnya, yang akan berlangsung pada bulan Julai 2018.

Pada zaman dahulu, parti beliau sering dituduh menggunakan keganasan atau ancaman untuk melemahkan pesaing mereka, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Hun Sen mengambil pendekatan lebih ‘lembut’ terhadap kebanyakan musuhnya dengan mengheret mereka ke mahkamah.

Ancamannya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ketua pembangkang Sam Rainsy, telah memaksa pesaingnya itu untuk meletak jawatan pada tahun ini, dan kini sedang hidup dalam buangan.

Pada 3 September (Ahad), pihak berkuasa Kemboja menahan pengganti Rainsy bernama Kem Sokha dan didakwa secara rasmi dua hari kemudian atas kesalahan membelot, kerana didakwa bersubahat dengan Amerika Syarikat untuk menggulingkan kerajaan.

Sekiranya didapati bersalah, Sokha akan berhadapan hukuman penjara selama 30 tahun.

Walau bagaimanapun, tindakan Hun Sen menahan pesaing-pesaing politiknya mencetuskan ketegangan politik dan menimbulkan persoalan sama ada pilihan raya yang akan datang nanti akan diadakan dengan bebas dan adil.

Menurut pihak pembangkang, dakwaan ‘membelot’ adalah satu dakwaan palsu dan bermotifkan politik.

Dalam pada itu, Hun Sen menggesa para pekerja kilang yang hadir ketika beliau berucap untuk mengundi dirinya pada tahun depan, sambil menjanjikan bahawa kerajaan akan menawarkan pekerjaan dan penjagaan kesihatan yang lebih baik kepada mereka.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker