Isu SemasaTempatan

Kenapa Marah Sangat Dengan AES?

Sistem Penguatkuasaan Automatik atau lebih popular dikenali sebagai AES mula diperkenalkan di negara kita pada tahun 2012, dan sejak itu telah mencetuskan kemarahan rata-rata netizen.

Mengapa ramai terlalu marah dengan sistem ini sedangkan fungsi AES hanya untuk ‘merekod aksi’ pemandu-pemandu yang melakukan kesalahan sahaja?

Bukan sahaja marah, malah terdapat juga netizen yang mempolitikkan isu ini dan mengadu kononnya AES ini adalah ‘taktik kerajaan’ untuk mengambil duit lebih daripada rakyat.

Jika tidak mahu disaman atau diambil tindakan oleh pihak berkuasa, pandu sahaja dengan berhemah dan ikut peraturan jalan raya dengan baik.

 

FUNGSI AES

AES ditubuhkan sebagai salah satu kaedah untuk memantau dan mengesan pesalah lalu lintas dengan lebih berkesan di kawasan-kawasan yang kerap terjadi kemalangan.

Contoh kesalahan yang berada di bawah pemantauan AES adalah seperti melanggar lampu isyarat dan memandu kenderaan melebihi had laju yang ditetapkan di sesuatu kawasan itu.

Sistem ini juga berfungsi secara automatik selama 24 jam setiap hari, dan maklumat kesalahan akan dihantar secara terus ke Pusat Kawalan AES (Control Center).

Maklumat kemudian akan diproses bagi mengenal pasti pemandu atau pemilik kenderaan berdasarkan maklumat yang terdapat dalam pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Selepas itu, saman akan dikeluarkan secara automatik dan dihantar melalui pos kepada pemandu yang melakukan kesalahan, dikenali sebagai OKS (Orang Kena Saman).

Sekiranya OKS gagal membayar saman dan dibicarakan di mahkamah, sistem itu juga akan menghantar maklumat kes secara automatik ke mahkamah untuk tujuan perbicaraan.

Harga bayaran saman pula telah ditetapkan sebanyak RM 150.

 

MENGAPA AES DIPERKENALKAN?

Sistem ini dipasang di kawasan-kawasan yang merekodkan kadar kemalangan jalan raya yang tinggi.

AES juga bertujuan untuk mengubah sikap, tingkah laku dan budaya pemanduan di Malaysia menerusi penguatkuasaan, di mana para pemandu di jalan raya pasti akan lebih ‘berdisiplin’ dan mengelak daripada melakukan kesalahan kerana serik disaman.

Apabila sikap pengguna jalan raya berubah, ia sekali gus akan mengurangkan lagi kemalangan jalan raya akibat kecuaian pemandu yang memandu dengan cara merbahaya dan melebihi kelajuan yang ditetapkan.

Memetik laporan Sinar Harian pada tahun 2012, statistik JPJ menunjukkan bahawa terdapat 7,000 kematian di jalan raya pada setiap tahun.

Pada tahun lepas pula, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati bahawa terdapat sebanyak 7,152 nyawa yang terkorban di jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Roslan Eusoff, pada waktu itu berkata kepada Bernama, penunggang dan pembonceng motosikal mendahului senarai itu, dengan purata 12 kematian daripada 20 yang terlibat.

“Ini juga menunjukkan penunggan dan pembonceng motosikal menyumbang kepada angka tertinggi kematian dijalan raya, dengan angka 4,485,” katanya.

Tambah beliau lagi, 82 peratus kemalangan maut dijalan raya adalah disebabkan oleh kecuaian pengguna itu sendiri.

“Kebanyakan kenderaan bertembung sesama sendiri, atau dilanggar dari belakang serta ada yang tergelincir. Jika pengguna mengurangkan kelajuan, kami percaya jumlah kemalangan juga akan dapat dikurangkan,” ujar Roslan.

 

KES KECURIAN AES

Hari Ahad lalu (10 September), Berita Harian melaporkan bahawa AES yang dipasang di Kilometer (KM) 151.4 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) telah dirosakkan dan dicuri.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri mempercayai bahawa kes ini mempunyai unsur-unsur perbuatan khianat.

Selain itu, siasatan awal juga mendapati beberapa komponen sistem berkenaan, termasuk kamera yang digunakan untuk merakam pesalah jalan raya turut lesap.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat, dan jika didapati bersalah, pesalah boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, dikenakan denda, atau kedua-duanya sekali.

 

KESIMPULAN

Tidak dinafikan bahawa AES ini tidak mampu menghalang 100% daripada berlakunya kemalangan jalan raya.

Mungkin terdapat juga pihak yang menganggap ia sebagai sesuatu yang tidak relevan, tetapi ia sekurang-kurangnya dapat memupuk kesedaran secara tidak langsung dalam diri pengguna jalan raya mengenai kepentingan pemanduan berhemah.

Akhir sekali, tidak kira apa jua undang-undang yang dikuatkuasakan sekali pun, ia tidak akan mendatangkan sebarang kesan sekiranya pemandu sendiri enggan berubah.

Bercakap tentang kesedaran, kerajaan telah melaksanakan pelbagai program untuk mendidik pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhemah.

Malah, kita juga telah diajar mengenai peraturan jalan raya sepanjang kursus mengambil lesen kenderaan/motosikal.

Jadi, perubahan yang sebenar terletak di dalam diri dan sikap seseorang pemandu itu sendiri.

 

Tags
Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button
Close