Isu SemasaTempatan

Uber Vs Teksi: Mana Satu Pilihan Pengguna?

Kewujudan perkhidmatan e-hailing baru seperti Uber/GrabCar telah menjadi isu hangat di negara kita apabila ia mencetuskan kemarahan dalam kalangan pemandu teksi kerana ‘menutup periuk nasi’ mereka.

Beberapa siri protes juga telah diadakan oleh pemandu-pemandu teksi seluruh negara untuk meluahkan bantahan mereka terhadap Uber/GrabCar.

Malah, dalam segelintir insiden, pemandu teksi (bukan semua) sanggup mencederakan pemandu Uber/GrabCar yang sedang berkhidmat untuk mengambil pelanggan.

Hal ini menyebabkan para pelanggan hilang minat untuk melanggan teksi kerana selain daripada tindakan ganas segelintir pemandu, terdapat juga pemandu teksi yang tidak memberikan layanan dan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan mereka.

Sebagai contoh, pemandu teksi didakwa sering mengelak untuk pergi ke kawasan-kawasan tertentu terutamanya kawasan yang sesak, tidak menggunakan meter, mengenakan caj yang melampau, dan juga tidak mesra apabila berinteraksi dengan pelanggan.

Walau bagaimanapun, masih ada lagi pemandu teksi yang ikhlas melakukan tugasan mereka tetapi kerana ‘nila setitik, rosak susu sebelanga’.

Hanya kerana tindakan segelintir pemandu yang tidak bertanggungjawab, ia telah menjejaskan nama baik seluruh industri teksi.

 

MENGAPA PELANGGAN MEMILIH UBER/GRAB CAR BERBANDING TEKSI?

1. Harga Berpatutan

Pertama sekali, harga yang berpatutan menjadi antara sebab utama mengapa pengguna lebih minat memilih Uber/Grab Car.

Caj tambang juga tidak boleh dimanipulasi kerana harga sudah ditetapkan melalui aplikasi yang wajib diakses oleh pemandu dan pelanggan.

 

2. Kebersihan dan Keselesaan

Syarikat Uber/GrabCar menetapkan syarat bahawa kenderaan yang digunakan tidak boleh melebihi lima tahun.

Oleh itu, kebersihan dan keselesaan pengguna akan lebih terjamin.

 

3. Mudah Diakses

Para pelanggan Uber/GrabCar boleh melanggan perkhidmatan di hujung jari mereka dengan membuat tempahan melalui aplikasi yang disediakan.

Selepas itu, pemandu akan datang terus datang ke lokasi pelanggan tanpa mereka perlu untuk ‘menahan atau memanggilnya’ seperti teksi.

 

4. Keselamatan Lebih Terjamin

Tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa kes yang menyaksikan pemandu Uber “mengambil kesempatan” terhadap pelanggan mereka.

Pada 6 Jun 2017, Harian Metro melaporkan sebuah insiden berhubung dakwaan dua orang lelaki yang ditinggalkan pemandu Uber separuh jalan dan kemudian disamun oleh dua orang suspek bermotosikal di Taman Murni, Batu 9, Cheras.

Memang benar ‘malang tidak berbau’, tetapi sekurang-kurangnya para pelanggan boleh mengetahui identiti dan maklumat pemandu sebelum bersetuju untuk menggunakan perkhidmatan mereka.

Sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku, pelanggan boleh membuat laporan kepada pihak-pihak tertentu dengan segera dan lebih mudah kerana maklumat pemandu sudah direkodkan dalam aplikasi.

Oleh itu, rata-rata pemandu e-hailing tidak berani untuk ‘mendatangkan masalah’ kerana ia hanya akan mendatangkan lebih mudarat kepada mereka sekiranya berbuat demikian, sekali gus lebih menjamin keselamatan pelanggan mereka.

 

UBER/GRAB CAR KINI SAH DI SISI UNDANG-UNDANG

Pada 27 Julai 2017, perkhidmatan Uber dan GrabCar secara rasmi menjadi salah satu pengangkutan awam yang sah di sisi undang-undang selepas Rang Undang-Undang Pengangkutan  Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 mendapat kelulusan di Dewan Rakyat.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kelulusan undang-undang ini menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di dunia yang mengawal selia undang-undang berhubung perkhidmatan e-hailing tersebut.

Jelas beliau, pemandu-pemandu e-hailing di Semenanjung Malaysia kini tertakluk kepada bidang kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) manakala di Sabah dan Sarawak pula, ia berada di bawah kuasa Lembaga Perlesenan Kende­raan Perdagangan (LPKP).

 

LAYANAN ADIL KEPADA TEKSI DAN E-HAILING

Walaupun perkhidmatan Uber/GrabCar ‘dihalalkan’, ia tidak bermakna kerajaan terus ‘lepas tangan’ dalam menjaga kebajikan pemandu teksi.

Nancy berkata, kedua-dua pemandu teksi dan e-hailing akan dikenakan syarat-syarat dan layanan yang sama untuk memastikan industri teksi dapat berkembang selaras dengan trend terkini dengan menawarkan perkhidmatan yang baik sekali gus meningkatkan taraf hidup pemandu teksi.

“Syarat-syarat yang dikenakan kepada pe­mandu teksi pa­da wak­tu ini seperti pe­meriksaan kesihatan, pemeriksaan kendera­an berkala, keperluan dilindungi insurans dan kad pemandu akan turut di­patuhi oleh pemandu-pemandu perkhid­matan e-hailing.

“Syarat-syarat ini diperlukan demi faktor keselamatan. Oleh itu, ia tidak akan dikecualikan ke­pada pemandu teksi tetapi akan turut dikenakan kepada peman­du e-hailing,” katanya.

 

KESIMPULAN

Jika dilihat secara menyeluruh, kewujudan Uber/GrabCar bukan penyebab yang menyumbang kepada ‘kemerosotan’ industri teksi.

Sebelum kewujudan e-hailing lagi, ramai pelanggan telah mengadu dan meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap layanan yang diberi oleh pemandu teksi, namun mereka tetap bersabar kerana tiada pilihan alternatif pada waktu itu.

Sekiranya majoriti pemandu teksi menyediakan perkhidmatan yang baik sejak dahulu lagi, kedatangan e-hailing tidak akan menjejaskan ‘periuk nasi’ mereka kerana pelanggan bijak dalam memilih apa yang terbaik untuk mereka.

Memandangkan Uber/GrabCar sudah menjadi satu medium pengangkutan awam yang sah, pemandu teksi perlu meningkatkan lagi kualiti dan mutu perkhidmatan, serta bersaing secara sihat dengan e-hailing yang lain.

Melakukan mogok atau sebarang bentuk protes hanya akan merugikan anda lagi kerana sudah pasti pelanggan akan beralih sepenuhnya kepada Uber dan GrabCar jika anda terus ‘mengganas’.

 

 

 

Tags
Show More

Related Articles