#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Thailand Dan Jepun Kukuhkan Hubungan Ekonomi


 

Untuk mengukuhkan lagi hubungan perdagangan, kerajaan Thailand dan Jepun pada hari Selasa telah menandatangani 7 perjanjian rasmi yang merangkumi penaik-tarafan industri, pelaburan dalam Koridor Ekonomi Timur (EEC), pembangunan manusia, dan sokongan/bantuan untuk perniagaan-perniagaan kecil dan sederhana.

Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Jepun, Hiroshige Seko, mengetuai 570 pelabur tempatan untuk mencari peluang pelaburan, terutamanya dalam EEC, yang merupakan inisiatif utama kerajaan Thailand.

“Bukan sahaja pelabur dari Tokyo dan Osaka, tetapi juga dari bandar-bandar lain yang menyertai misi perdagangan besar itu,” kata Seko, merujuk kepada pelabur Jepun yang berminat untuk melabur di Thailand dan negara-negara Asean lain.

Ujar beliau, Jepun akan terus menyokong Thailand sebagai hab rantau Greater Mekong, atau CLMV yang merangkumi Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.

Memetik laporan Straits Times, Timbalan Perdana Menteri Thailand, Somkid Jatusripitak berkata, beliau telah meminta delegasi tersebut untuk mempertimbangkan pembinaan keretapi berkelajuan tinggi yang menghubungkan Vietnam, Thailand dan Myanmar, sebagai tambahan kepada rancangan Jepun untuk membina keretapi menghubungkan utara dan selatan Thailand.

Beliau juga meminta Seko supaya mempercepatkan rundingan perdagangan bebas di bawah rancangan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (Rcep), yang menampilkan Asean, China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand, bukan Amerika Syarikat (AS).

Menurut Seko, Jepun amat berminat untuk membina sistem keretapi yang menghubungkan timur dan barat.

“Butiran perjanjian mengenai Rcep telah dicapai baru-baru ini di antara saya dan Menteri Perdagangan Thailand, dan kami akan mengemukakannya kepada persidangan Rcep pada hujung tahun ini,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan Jepun telah melancarkan dasar untuk meningkatkan taraf industri menerusi automasi, robotik dan data besar.

Ini boleh diaplikasikan kepada industri pembuatan jepun di Thailand dan di seluruh dunia.

Sementara itu, Menteri Industri Thailand, Uttama Savanayana memberitahu pelabur-pelabur Jepun bahawa pelaburan dalam EEC dalam 5 tahun pertama dijangka akan bernilai AS$43 bilion (RM 180 bilion).

20% daripada nilai itu adalah daripada bajet kerajaan manakala selebihnya akan datang daripada perkongsian awam-swasta (PPP).

Walau bagaimanapun, Savanayana menjelaskan bahawa ia masih terlalu awal untuk meramalkan berapa banyak perniagaan Jepun akan melabur dalam EEC.

Setakat ini, syarikat kenderaan Toyota komited untuk melabur sebanyak 20 billion baht (RM 2.5 bilion) bagi pengeluaran kenderaan hibrid, di mana ia dimulakan dengan 10 bilion baht (RM 1.2 bilion) pada tahun depan dan 10 bilion lagi pada tahun berikutnya.

 

 

 

 

 

 

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.