#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Kempen Politik AS Dalam Era Media Sosial


 

Minggu lepas, syarikat gergasi media sosial, Facebook Inc mengakui bahawa sebuah operasi yang berhubung kait dengan Rusia telah membelanjakan kira-kira AS$100,000 (RM 420,750) untuk pengiklanan di laman sosial itu ketika Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), tahun lepas.

Oleh itu, perkara ini menimbulkan pelbagai persoalan mengenai campur tangan media sosial dan politik.

 

UNDANG-UNDANG TELAH DILANGGAR?

Memetik laporan Bloomberg, persoalan pertama adalah sama ada undang-undang sedia ada AS telah dilanggar.

Segelintir iklan yang berada di laman sosial tersebut didapati berkaitan dengan ‘troll farm’ yang menyebarkan propaganda Rusia.

Hal ini menunjukkan bahawa mereka merupakan sebahagian daripada usaha lebih besar Rusia untuk campur tangan dalam pilihan raya AS, termasuk mengintip kempen-kempen politik, menggerakkan “botnets” untuk mewujudkan perbualan atas talian (online), mendedahkan dokumen yang dicuri, dan menyerang sistem undian di 39 negeri.

Agensi-agensi perisikan AS merumuskan bahawa tindakan-tindakan tersebut bertujuan untuk membantu Donald Trump memenangi pilihan raya pada waktu itu.

Sekiranya iklan-iklan di Facebook itu disasarkan kepada pengundi di ‘swing state’ (Colorado, Florida, Iowa, Michigan dan lain-lain), ini menimbulkan kemungkinan bahawa kempen Trump telah membantu menyelaraskan usaha Rusia, sekali gus menjadikannya sebagai satu kesalahan jenayah.

Di AS, kempen-kempen pilihan raya tidak boleh menerima sebarang bentuk manfaat (diberi secara percuma atau berbayar) daripada pihak asing, dan individu bukan warganegara juga tidak boleh membelanjakan wang untuk menyokong mana-mana calon dalam pilihan raya.

 

TRUMP TIDAK MENGELUARKAN WANG UNTUK BERKEMPEN ?

Laporan The Washington Post menjelaskan bahawa jumlah wang yang dibelanjakan oleh Rusia untuk pengiklanan amat sedikit berbanding jumlah kempen pilihan raya secara menyeluruh.

Agensi berita Reuters pula berkata, lebih daripada AS$ 1 bilion telah dibelanjakan untuk pengiklanan politik dalam kempen pilihan raya tersebut, iaitu beribu kali ganda lebih daripada jumlah dibelanjakan oleh Rusia yang dikenal pasti oleh pasukan keselamatan Facebook.

Tetapi lebih memeranjatkan lagi, Presiden Trump dikatakan tidak membelanjakan sebarang wang dalam pengiklanan televisyen untuk 202 hari pertama untuk kempennya.

“Saya tidak tahu mengapa saya perlukan wang yang banyak. Anda tahu, saya pergi ke merata tempat, saya membuat ucapan, saya bercakap dengan wartawan. Saya tidak perlukan komersial, jika anda ingin tahu perkara sebenar,” kata Trump pada bulan Jun 2016.

Dalam temubual pasca-pilihan raya pertamanya bersama CBS, Trump ‘berterima kasih’ kepada media sosial kerana membantunya untuk menang tanpa mengeluarkan wang yang banyak.

“Oleh kerana saya ¬†mempunyai kuasa, dari segi nombor (pengikut), bersama Facebook, Twitter, Instagram, dan sebagainya – Saya rasa ia membantu saya menang semua perlumbaan (pilihan raya) ini, di mana mereka (pihak lawan), membelanjakan lebih banyak wang berbanding saya,” katanya.

 

MEDIA SOSIAL ‘SENJATA’ UTAMA KEMPEN TRUMP

Media sosial ternyata memainkan peranan penting dalam pilihan raya presiden 2016 AS.

Kempen Trump menggunakan Facebook untuk menguatkan lagi mesej yang ingin disampaikan, memacu undian untuk pihaknya dan menyekat undian bagi pesaingnya.

Media sosial juga merupakan platform penting untuk penyebaran berita palsu yang memihak kepada Trump, dan juga akaun-akaun palsu untuk menyerang calon parti Demokrat, Hillary Clinton.

Ini merupakan petanda jelas bahawa terdapat kemungkinan campur tangan Rusia telah memainkan peranan dalam kemenangan Trump.

APA YANG FACEBOOK PERLU LAKUKAN?

Facebook perlu berterus terang sepenuhnya tentang apa yang berlaku dalam kes penglibatan Rusia dan apa langkah mereka untuk menanganinya, serta mendedahkan iklan-iklan tersebut kepada umum dna menjelaskan bagaimana ia disasarkan.

Bloomberg juga mencadangkan supaya syarikat itu memberikan data-data penting kepada penyelidik-penyelidik bebas, seperti yang dilakukan oleh Twitter.

Ini boleh memberi gambaran bagaimana ia digunakan dalam pilihan raya dan kesannya kepada para pengundi.

Bagi pihak Kongres pula, mereka dinasihati supaya menyemak semula bagaimana undang-undang pilihan raya patut diaplikasikan di dalam media sosial, dan bergerak ke arah ketelusan maksimum.

Era baru dalam politik Amerika Syarikat memerlukan peraturan baru.

 

 

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.