Sukan

103 Emas Sasaran Kontinjen Negara Sukan Para Asean 2017

Kontinjen negara Sukan Para Asean 2017 menyasarkan 103 daripada 368 pingat emas yang ditawarkan kali ini dengan 40 pingat emas dijangka datang dari skuad olahraga negara.

Pengurus pasukan, Mohd Zarrawi Ravi Abdullah berkata kem olahraga yang terdiri daripada 72 atlet sudah bersedia untuk membantu menyahut sasaran 103 pingat emas yang ditetapkan bagi kontinjen negara.

Beliau mahu mengatasi pencapaian di Singapura dua tahun lepas yang mengumpul 27 pingat emas keseluruhannya.

Pada Sukan Para Asean ke-9 ini skuad olahraga bakal menampilkan 24 atlet muda yang bakal mewakili negara untuk pertama kali.

Sukan Para Asean 2017 akan membuka tirai pada 17 September 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 malam dan ini merupakan kali ketiga dianjurkan di Malaysia.

Peminat sukan boleh menyaksikannya secara percuma tetapi perlu mendapatkan pas masuk ke upacara pembukaan itu sebagai langkah keselamatan untuk mengawal kemasukan dan agihan tempat duduk di dalam stadium.

Menurut Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc) dalam kenyataan media, setiap individu layak mendapatkan maksimum 10 pas masuk dan orang  ramai boleh mendapatkannya secara dalam talian www.kualalumpur2017.com.my atau di kaunter tiket di Stadium Nasional.

Kaedah dalam talian bermula 11 September hingga 12 tengah hari, 16 September dan pas masuk itu perlu dimuat turun serta dicetak sebelum acara pembukaan tersebut.

Sebanyak 16 acara sukan akan dipertandingkan dari 17 hingga 23 September dengan menyaksikan 11 negara berentap untuk meraih kejayaan untuk negara masing-masing.

 

Tags
Show More

Related Articles