Sukan

Kenali “Si Ikan” Yang Meluncur Hebat Di Litar Moto2

Pelumba Moto2 dari Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah mempamerkan tunggangan cemerlang pada Ahad lalu dengan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dalam kategori Moto2 dalam Grand Prix San Marino di litar Misano, Itali.

Kejayaannya ini membolehkan Hafizh Syahrin mengutip 16 mata untuk berada di tangga ke-10 keseluruhan dalam kategori Moto2 dengan kutipan 66 mata selepas 13 pusingan perlumbaan musim ini.

Pelumba Petronas Raceline Malaysia berusia 23 tahun itu mencatat masa 51 minit:47.584 saat dalam perlumbaan 26 pusingan dengan keadaan litar yang basah.

Sumber Gambar: goasiaplus.com

Litar yang basah cukup sinonim dengan Hafizh dan dek kerana itu juga beliau mendapat gelaran “pescao” yang mempunyai maksud sama dengan perkataan “pescado” dalam Bahasa Sepanyol iaitu “ikan” dalam Bahasa Melayu.

Hafizh mendapat gelaran “Si Ikan” sebaik menyertai perlumbaan kategori Moto2 siri CEV di Sepanyol pada 2012.

Hafizh pernah menceritakan kisah bagaimana dia mendapat gelaran tersebut kepada wartawan mStar

“Nama saya Hafizh, mereka (orang Sepanyol) susah nak sebut nama saya, nak keluar kata ‘Ha’ itu macam susah sangat, lalu mereka panggil saya ‘fizh’ sahaja”.

“Nak jadi cerita, musim pertama pada perlumbaan pusingan pertama, cuaca hujan. Saya memang suka hujan. Namun saya dapat tempat kelima. Terus melekat perkataan ‘fish’ sebab dalam Bahasa Inggeris fish bermaksud ‘ikan’ kemudian jadi ‘pescao’ sebab itu maksudnya dalam Bahasa Sepanyol”, cerita beliau diselangi ketawa.

Ternyata, cerita ‘Si Ikan’ dan hujan tidak tamat di situ sahaja.

Pada tahun yang sama, Hafizh mendapat peluang berlumba di GP Sepang menggunakan tiket ‘wildcard’ dalam kategori Moto2.

“Wildcart di Sepang, hujan, saya semangat, tak sangka dari petak 27 boleh kejar sampai tempat pertama, boleh pula ketuai kelompok depan, dan boleh jarakkan kedudukan daripada pelumba lain”.

 

“Tak lama lepas itu, hujan berhenti sekejap, kemudian hujan semula. Waktu itu tayar saya dah habis makan (haus), terpaksa bawa perlahan, dah macam bawa bot atas litar, pelumba lain dapat pintas saya”.

“Elok sahaja lepas dipintas, penganjur naikkan bendera merah (tamatkan perlumbaan akibat cuaca). Kalaulah bendera merah naik awal sedikit, saya dah dapat kedudukan ‘podium first’. Tapi tiada nasib, dapat tempat ketiga sahaja”, jelasnya dengan bersemangat.

Hafizh yang dilahirkan di Selangor pada 5 Mei 1994 mula berminat dalam bidang sukan permotoran sejak kecil lagi dengan menunggang motorsikal poket.

Hafizh yang ketika itu berumur antara tujuh hingga lapan tahun, sering membantu ayahnya di bengkel motor setelah pulang dari sekolah dan akan ditugaskan membeli air minuman. Wang baki dari situ akan disimpan sebagai tabungan dengan izin bapanya.

Apabila cukup wang, dia dan rakanya akan ke kompleks membeli-belah Galaxy Ampang untuk bermain motorsikal poket dengan harga RM20 untuk 15 minit.

Namun setelah sebulan, perkara tersebut sampai ke pengetahuan bapanya sehingga Hafizh telah berbelanja RM400 semata-mata untuk bermain motor menyebabkan ayahnya menghalang beliau daripada ke sana lagi.

Walau bagaimanapun, rupa-rupanya ayah Hafizh ada perancangan tersendiri.

Tidak lama selepas kejadian itu, Hafizh diberi satu kejutan besar.

Hafizh yang dalam keadaan merajuk namun dipaksa oleh ayahnya untuk mengikutnya ke beberapa kedai alat ganti motor. Tiba di kedai kedua, ayah Hafizh memegang pegang sebuah motor, sambil diperhatikan Hafizh.

Kemudian beliau membawa motor itu ke dalam kereta, dan memberitahu Hafizh bahawa motorsikal tersebut adalah miliknya.

Sejak hari itu, Hafizh berlatih bersungguh-sungguh, hingga membawanya ke beberapa kejohanan motorsikal poket di seluruh Negara.

Kehandalannya tidak dapat dinafikan lagi walaupun pada usia yang muda sehingga mendapat gelaran “Raja Motorsikal Poket”.

Pada tahun 2007, Hafizh bertemu dengan Barry Leong secara tidak sengaja di Bukit Jalil sewaktu Barry kebetulan sedang melatih anaknya.

Tertarik dengan kelincahan Hafizh mengawal motorsikal, Barry kemudian menawarkan sesi ujian, yang digunakan sepenuhnya Hafizh, untuk menempatkan dirinya dalam pasukan.

Satu demi satu kejayaan dicapai oleh Hafizh melalui perlumbaan Cub Prix, 600cc dan kategori sampingan, Harley Davidson hinggalah hari ini Hafizh menjadi tumpuan pelbagai pihak walaupun baru musim pertama menyertai Grand Prix bagi kategori Moto2. 

Hafizh menambah kata, sokongan yang diberi Petronas adalah satu sebab utama beliau boleh mencapai tahap yang disandang sekarang.

Kejayaan Hafizh yang konsisten pada setiap perlumbaan telah menyebabkan Petronas Raceline Malaysia telah menamakan beliau sebagai penunggang tunggal untuk musim Moto2 2017.

Tags
Show More

Related Articles

Check Also

Close