AntarabangsaIsu Semasa

Guru Di UK Akan ‘Kehilangan’ Pekerjaan?

Perkembangan pesat teknologi ternyata memudahkan pelbagai perkara dalam kehidupan kita, termasuk membantu guru-guru untuk melaksanakan sesi pembelajaran dengan lebih berkesan.

Tetapi, penggunaan teknologi yang tidak terkawal dan keterlaluan boleh mendatangkan mudarat.

Baru-baru ini, Naib Canselor University of Buckingham, Sir Anthony Seldon, menyatakan bahawa teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) akan mengambil alih peranan guru-guru dalam mendidik murid-murid di sekolah dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Guru masih akan kekal dalam bilik darjah, tetapi hanya sekadar untuk memasang peralatan bagi sesi pembelajaran dan menjaga disiplin murid-murid, manakala sesi pembelajaran pula akan dikendalikan oleh kecerdasan buatan sepenuhnya.

“Ia sememangnya akan mengubah kehidupan manusia seperti yang kita tahu. Ia akan membuka kemungkinan untuk pendidikan Eton atau Wellington untuk semua,” kata Sir Anthony.

Ujar beliau lagi, setiap orang boleh mendapatkan guru yang terbaik dan ia boleh ditetapkan mengikut citarasa setiap individu.

Selain itu, software yang digunakan juga akan dipakai sepanjang perjalanan pendidikan murid-murid.

“Ia boleh bergerak mengikut ‘kelajuan’ pelajar. Ini melebihi apa sahaja yang kita pernah lihat dalam revolusi industri atau teknologi-teknologi baru yang lain,” ujar beliau.

Memetik laporan Sky News, Sir Anthony menjelaskan visi masa depannya dalam satu ceramah di British Science Festival, dan akan turut membincangkan perkara itu dalam buku barunya bertajuk The Fourth Education Revolution, yang akan diterbitkan pada tahun depan.

Revolusi pertama adalah tentang mempelajari asas-asas kehidupan, revolusi kedua melibatkan perkongsian ilmu pengetahuan, manakala revolusi ketiga pula melibatkan penciptaan percetakan.

Yang terakhir sekali, iaitu revolusi keempat, kanak-kanak akan berkembang mengikut kemampuan dan kelajuan mereka sendiri, dan akan diiringi oleh teknologi AI.

“Saya amat sedih tentang perkara ini,” katanya sambil menambah bahawa beliau terpaksa mengakui bahawa mesin/teknologi akan menggantikan peranan guru-guru.

Sir Anthony berkata, teknologi tersebut juga mempunyai kebolehan untuk mengetahui apa yang diminati oleh pelajar selain daripada memberi mereka cabaran yang tidak terlalu susah atau terlalu senang, tetapi sesuai dengan kemampuan pelajar.

Walau bagaimanapun, manusia masih akan kekal di sekolah, tetapi inspirasi dari aspek keseronokan intelektual akan didorong oleh teknologi tersebut yang telah diprogramkan untuk melaksanakan tugasnya dengan baik.

 

Tags
Show More

Related Articles