#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


China Akan Tamatkan Penjualan Kenderaan Petrol


 

China akan mengambil langkah seperti Britain dan Perancis untuk menamatkan penjualan kenderaan petrol dan diesel.

Kementerian Industri China sedang membuat satu jadual waktu untuk menamatkan pengeluaran dan penjualan kedua-dua kenderaan tersebut dan akan mempromosikan pembangunan teknologi elektrik.

Memetik laporan Independent UK, China merupakan pasaran automotif yang terbesar dari aspek jumlah kenderaan yang telah dijual.

Pada bulan Julai, Perancis dan Britain mengumumkan bahawa mereka akan menghentikan penjualan kenderaan yang menggunakan bahan bakar tradisional (petrol dan diesel) menjelang 2040, sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan pencemaran dan pelepasan karbon yang menyumbang kepada pemanasan global.

Dalam pada itu, pemimpin-pemimpin komunis China juga melihat kenderaan elektrik sebagai industri yang mempunyai peluang cerah, di mana mereka mahu mendahului pasaran itu dengan awal.

Tahun lepas, China telah mendahului Amerika Syarikat (AS) sebagai pasaran kenderaan elektrik yang terbesar di dunia.

Penjualan kenderaan elektrik dan hibrid petrol-elektrik meningkat sebanyak 50% daripada 2015 kepada 336,000 buah kenderaan, yang bersamaan 40% permintaan global, manakala AS pula hanya berjaya menjual 159,620 kenderaan sahaja.

Beijing dilaporkan telah menyokong pembangunan teknologi dan membelanjakan berbilion dolar dalam subsidi penyelidikan serta pelbagai insentif kepada pembeli.

Tetapi, negara itu akan beralih kepada sistem quota yang akan memberi beban kewangan kepada syarikat pembuat kenderaan.

Di bawah sistem quota yang dicadangkan itu, kenderaan elektrik dan hibrid-petrol akan merangkumi 8% daripada setiap pengeluaran pembuat kenderaan pada tahun depan, 10% pada tahun 2019 dan 12% menjelang 2020.

Pembuat kenderaan yang gagal mencapai sasaran itu boleh membeli kredit daripada pesaing-pesaing mereka yang mempunyai lebihan.

Selain itu, China juga telah mengarahkan syarikat-syarikat tenaga tempatan milik kerajaan untuk mempercepatkan pemasangan stesen pengecasan bagi meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik.

Pembuat kenderaan tempatan, BYD Auto, merupakan pembuat kenderaan terbesar di negara itu dengan jumlah unit yang telah dijual.

Syarikat berkenaan menjual kenderaan hibrid petrol-elektrik sedan dan SUV di China dan memasarkan teksi dan bus elektrik di Amerika Syarikat, Eropah, Amerika Latin dan juga di China sendiri.

Syarikat Volvo Cars yang dimiliki oleh Geely Holding Group (syarikat China) juga telah mengumumkan rancangan untuk menjadikan kenderaan elektrik di China sebagai jualan global bermula tahun 2019 nanti.

General Motors Co., Volkswagen AG, Nissan Motor Co. dan syarikat-syarikat lain turut akan bekerjasama dengan rakan dagang di China untuk membangunkan dan menghasilkan kenderaan elektrik di negara itu.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.