#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Petit Pli – Pakaian Yang Membesar


 

Kebanyakan kanak-kanak membesar dengan cepat dalam dua tahun pertama mereka, dan ibu bapa menghabiskan purata RM5000-RM10000 pada pakaian sebelum anak mereka mencapai usia tiga tahun. Dengan kos yang tinggi dan jangka hayat yang terhad, pengeluaran besar-besaran pakaian kanak-kanak juga memberi tekanan besar terhadap alam sekitar melalui sisa, penggunaan air dan pelepasan karbon.

Berdasarkan situasi ini, seorang pereka telah mencipta pakaian inovasi yang dapat membesar bersama kanak-kanak.

Dinamakan Petit Pli, pakaian pintar ini telah memenangi Anugerah James Dyson UK dan dijangka akan memasuki pasaran.

ryan mario yasin

Pencipta Petit Pli, Ryan Mario Yasin, jurutera reka bentuk dengan ijazah dalam bidang kejuruteraan aeronautik, telah mendapat ilham untuk mencipta Petit Pli selepas dia membeli beberapa pakaian baru untuk anak saudaranya. Bagaimanapun, pakaian itu tidak lagi muat dipakai selepas beberapa bulan.

Menurut TheGuardian, pakaian ini direka untuk kanak-kanak berumur empat hingga 36 bulan dan Yasin menegaskan bahawa kainnya tahan lasak, boleh dibasuh, kalis hujan, dan kalis angin.

Pelajar pascasiswazah yang menuntut di Royal College of Arts di London ini bercita-cita untuk menjadikan Petit Pli sebagai pakaian kanak-kanak paling maju di dunia. Dengan 11 juta kanak-kanak di UK, Yasin yakin bahawa inilah masanya untuk mereka semula pakaian kanak-kanak.

Struktur auxetik sebagai bahan sintetik yang digunakan dalam kain Petit Pli akan membuatkan pakaian menjadi lebih tebal ketika ditarik dan bukannya semakin menipis. Bahan sintetik ini juga boleh berkembang dalam dua arah pada masa yang sama.

Setelah mendapat Anugerah James Dyson UK, Yasin kini telah memasuki pertandingan peringkat antarabangsa dengan peluang memenangi hadiah utama dalam pertandingan reka bentuk tahunan di mana peserta ditugaskan membuat sesuatu yang dapat menyelesaikan masalah praktikal.

Sama ada dia menang atau tidak, pereka itu berhasrat untuk membawa Petit Pli ke pasaran, setelah menjalani ujian ketahanan lebih lanjut dan memperoleh pengilang yang sesuai. Selain prototaip yang telah dihasilkan, Yasin juga merancang untuk menghasilkan Petit Pli dengan pelbagai lagi rekaan yang berkemungkinan turut dijual kepada golongan yang masih dalam fasa tumbesaran.

Post Tags
Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.