#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Hasan Malek Bintangi Filem This Is Pilah


 

Sebuah filem komedi romantik berlatarbelakangkan Adat Perpatih berjudul This Is Pilah bakal menemui penonton di seluruh negara awal tahun depan.

Filem terbitan Madness Films Sdn. Bhd. (Madness Films) arahan Rosdi Md. Dali itu akan turut menampilkan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan selaku pelakon jemputan.

Pengasas Madness Films, Shafirul Nizam Haron berkata, filem yang menelan belanja hampir RM1 juta dan menggunakan sepenuhnya dialek Negeri Sembilan itu akan memulakan pengambaran pada bulan depan.

Filem ini akan dibintangi oleh penyanyi rap tempatan, Juzzthin, sebagai teraju utama manakala pelakon utama wanita masih `misteri’. Filem ini akan turut dibintangi artis lain berasal dari Negeri Sembilan antaranya Waris dan Ito.

Pihak penerbit juga masih dalam rundingan bagi mendapatkan kartunis Ujang dan Syamsul Debat untuk berlakon filem ini. Dalam pada itu, mereka juga menyatakan hasrat untuk menjemput Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berlakon filem berkenaan.

Single terbaru Waris berjudul This Is Pilah yang akan menjadi album soundtrack rasmi filem juga telah dilancarkan, lapor TheStar.

Filem This Is Pilah berkisar tentang hasrat seorang pemuda di Kuala Pilah mahu berkahwin dengan gadis idamannya, namun dihalang bapa wanita berkenaan kerana kedua-dua mereka berasal daripada suku yang sama.

Shafirul Nizam berkata, beliau melakukan kajian mendalam tentang Adat Perpatih sebelum menjalankan pengambaran dan melantik Undang Johol, Datuk Muhammad Abdullah sebagai penasihat filem berkenaan.

Sementara itu, Hasan yang juga Duta Besar Malaysia Ke Kemboja berkata, beliau menyambut baik penerbitan filem itu kerana secara tidak langsung mempromosikan Kuala Pilah dan keunikan Adat Perpatih Negeri Sembilan.

“Jika penerbit fikir saya sesuai untuk berlakon dalam filem ini, saya akan cuba berikan yang terbaik untuk Kuala Pilah,” katanya.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.