#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Apa Itu Felo Perdana?


 

Program Felo Perdana menawarkan peluang bagi siswazah dan graduan cemerlang untuk bekerja sebagai ‘intern’ atau pembantu sementara kepada menteri-menteri Kabinet termasuk Perdana Menteri.

Felo akan didedahkan kepada pelbagai aspek kepimpinan kerajaan melalui seorang menteri yang akan menjadi mentor kepada Felo yang terpilih berdasarkan keputusan akademik, kegiatan kokurikulum dan rekod kepimpinan mereka.

Ciri-ciri ideal peserta Program Felo Perdana

Sebagai pemimpin masa hadapan, peserta Felo Perdana mestilah mempunyai minat yang mendalam terhadap dasar-dasar awam dan hal ehwal semasa.

Felo Perdana direka bentuk untuk memberi peluang kepada pelajar luar biasa yang ingin menjadi sebahagian daripada proses pembangunan negara sambil mengasah kemahiran kepimpinan mereka di peringkat tertinggi kerajaan.

Peserta-peserta Program Felo Perdana berpeluang mendekati pemimpin-pemimpin tertinggi kerajaan

Sebab untuk sertai program Felo Perdana

Ini  merupakan  masa dan peluang yang terbaik untuk golongan muda rakyat Malaysia untuk menonjolkan diri dan melibatkan diri secara peribadi dalam kepimpinan negara.

Malah ia juga merupakan sebuah peluang yang sangat berharga bagi golongan muda Malaysia untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

Syarat-syarat menyertai program  

Program Felo Perdana  terbuka kepada semua pelajar yang mendaftar di institusi pengajian tinggi, tertakluk kepada keperluan yang digariskan di bawah. Calon mestilah bersedia untuk meluangkan masa sebanyak sekurang-kurangnya 6 minggu untuk mengikuti program tersebut.

  • Calon mestilah seorang warganegara Malaysia
  • Calon mestilah seorang mahasiswa di institut pengajian tinggi, sama ada di dalam atau di luar negara
  • Calon perlu mempunyai rekod akademik yang kukuh
  • Calon haruslah boleh berkomunikasi secara efektif
  • Calon mestilah aktif bergiat dalam aktiviti kurikulum
  • Calon harus menunjukkan kebolehan sebagai pemimpin
  • Calon mestilah berusia 30 tahun ke bawah

Bagaimana mahu mendaftar?

Pemohon dikehendaki melengkapkan permohonan dalam talian. Mengisikan perkara-perkara seperti maklumat peribadi, latar belakang akademik, aktiviti kurikulum & sukarelawan yang pernah disertai dan maklumat tambahan lain.

Pemohon juga akan diminta untuk mengemukakan:

  • Resume / CV
  • Foto bersaiz pasport
  • Esei hasil karya sendiri. Esei tidak melebihi 500 perkataan yang menjawab soalan berikut: “Bayangkan diri anda pada tahun 2050. Apakah dasar yang paling kuat di Malaysia dan apakah yang perlu dilakukan dari tahun 2020 dan seterusnya untuk mencapainya?”.

Esei  ini boleh dikemukakan dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris
di laman web ini.

Walaupun permohonan pada tahun ini telah ditutup pada April 2017 yang lalu, bagi mereka yang berminat dan layak boleh menunggu untuk sertai program ini pada tahun hadapan. Sementara itu anda boleh dapatkan lebih banyak maklumat di laman sesawang http://www.feloperdana.gov.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.