AntarabangsaIsu Semasa

Equifax Digodam, 143 Juta Pelanggan Terjejas

Sistem komputer di agensi laporan kredit di Amerika Syarikat, Equifax, telah diserang oleh penggodam, sekali gus menjejaskan data 143 juta rakyat negara itu serta segelintir penduduk Britain dan Kanada.

Memetik laporan Arab News, Equifax melindungi data kewangan para pelanggan yang mengambil kad kredit.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu menyatakan bahawa mereka menyedari kewujudan serangan itu pada 29 Julai dan telah “mengambil tindakan segera” untuk menanganinya dengan bantuan syarikat keselamatan siber untuk menilai impak serangan tersebut.

“Penjenayah mengeksploitasi kelemahan laman web aplikasi AS untuk mendapat akses kepada fail-fail tertentu.

“Berdasarkan siasatan syarikat, akses yang tidak sah itu berlaku daripada pertengahan bulan Mei sehingga Julai 2017,” kata kenyataan itu.

Equifax berkata, penggodam berjaya memperolehi nama, nombor keselamatan sosial, tarikh lahir, alamat dan juga nombor lesen memandu daripada pangkalan data itu, dan ini menjadikan kes pencurian identiti berpotensi untuk berlaku.

Ujar syarikat itu lagi, mereka akan bekerjasama dengan pengawal selia Britain dan Kanada untuk menentukan langkah-langkah sesuai untuk para pelanggan yang terkesan di kedua-dua negara itu.

Walau bagaimanapun setakat ini, tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa maklumat peribadi pelanggan di negara-negara tersebut telah dicuri.

“Ini merupakan kejadian yang mengecewakan untuk syarikat kami,” kata pengerusi dan ketua eksekutif Equifax, Richard Smith.

Dalam pada itu, beliau turut memohon maaf secara terbuka kepada para pelanggan atas kejadian malang ini, sambil berikrar bahawa pihaknya akan menyemak semula operasi keselematan mereka secara menyeluruh.

Menurut Equifax, pihak mereka telah menubuhkan sebuah laman web yang membolehkan pelanggan untuk membuat pemeriksaan sama ada mereka terkesan atau tidak dengan serangan siber itu.

Sekiranya terkesan, Equifax akan menawarkan pemantauan kredit secara percuma dan perlindungan pencurian identiti kepada pelanggan mereka.

Selain itu, beberapa syarikat lain juga telah diserang oleh penggodam sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tahun lepas, Yahoo menghadapi dua serangan siber berbeza yang menjejaskan kira-kira 1 bilion akaun pengguna.

Laman web Adult Friend Finder juga menjadi mangsa sasaran penggodam, di mana serangan itu menjejaskan 400 juta akaun pengguna mereka.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close