AntarabangsaIsu Semasa

Penuaan Penduduk Akan Melembabkan Ekonomi Asia

Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran bahawa penuaan penduduk di negara-negara Asia utama akan melembabkan pertumbuhan ekonomi di rantau itu.

Berdasarkan kajian, penuaan populasi di Asia lebih cepat berbanding mana-mana kawasan di dunia, dan Jepun diramalkan akan menjadi negara ”ultra-tua’.

Ini bermakna bahawa 28% daripada seluruh populasi negara itu adalah golongan berusia 65 tahun atau lebih, manakala 1/5 daripada penduduk Korea Selatan dijangka berusia 65 tahun menjelang 2030.

Pengarah Urusan IMF, Christine Lagarde – Sumber: www.armstrongeconomics.com

Pengarah Urusan IMF, Christine Lagarde berkata, negara-negara yang mengalami penuaan populasi pesat termasuk China, Jepun, Korea dan Thailand akan mempunyai tenaga kerja yang lebih kecil dan pertumbuhan produktiviti yang rendah pada masa akan datang.

“Kami anggarkan bahawa negara-negara ini akan menghadapi pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) tahunan yang lebih rendah,” katanya.

Memetik laporan Straits Times, China dan Jepun merupakan ekonomi kedua dan ketiga terbesar di dunia, dan pertumbuhan yang perlahan secara tidak langsung berisiko untuk memberi impak negatif kepada seluruh dunia.

Oleh itu, Lagarde menggesa kerajaan di negara-negara tersebut untuk meningkatkan bilangan wanita dalam tenaga kerja dengan memberi golongan ibu yang bekerja manfaat penjagaan kanak-kanak yang lebih dan insentif-insentif untuk bekerja sambilan.

Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan yang lebih baik serta akses kewangan bagi golongan wanita perlu diutamakan di negara-negara membangun seperti India, di mana populasi negara itu juga sedang bertambah.

Tambahnya lagi, menutup jurang jantina dalam pasaran kerja boleh meningkatkan KDNK Jepun sebanyak 9%, Korea Selatan 10%, dan India 27%.

Dalam sebuah persidangan pada hari Khamis, Gabenor Bank of Korea, Lee Ju Yeol menyeru supaya langkah menangani kadar kelahiran rendah diambil selain daripada mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk wanita dan golongan tua.
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close