AntarabangsaIsu SemasaKesihatan

Kesan Kanser Dalam 10 Saat

Para saintis telah mencipta sebuah alat peranti seperti pen yang boleh mengesan kanser sepantas 10 saat dan ini boleh membantu pakar bedah untuk membuang penyakit ini sehingga ia benar-benar hilang.

Alat tersebut dilaporkan mampu mengenal pasti sel-sel kanser 150 kali lebih cepat berbanding teknologi konvensional dan keberkesanannya adalah 96%.

Menurut penyelidik daripada University of Texas, alat bernama MasSpec Pen itu boleh membantu pakar bedah untuk mengesan tisu yang perlu dibuang dan tisu yang perlu dikekalkan untuk membantu pesakit sembuh.

“Jika anda bercakap dengan pesakit kanser selepas pembedahan, salah satu perkara yang ramai akan kata adalah ‘saya berharap pakar bedah sudah membuang semua kanser itu,” kata Dr Livia Schiavinato Eberlin, individu yang merangka kajian berkenaan.

Namun Dr. Livia berkata, ia sangat menyedihkan apabila perkara itu tidak berlaku.

Tetapi, teknologi itu boleh meningkatkan kemungkinan bagi pakar bedah untuk benar-benar boleh membuang semua sel-sel kanser sepenuhnya daripada pesakit.

Memetik laporan Sky News, MasSpec Pen berfungsi dengan mengeluarkan titisan kecil air ke atas tisu yang disasarkan, lalu menyedut kimia yang terdapat dalam sel berkenaan.

Kemudian, titisan air itu akan dianalisis menggunakan sebuah instrumen yang dipanggil ‘mass spectrometer‘.

Mass spectrometer itu boleh menganalisis beribu-ribu molekul dan dengan pantas akan menghantar keputusan ujian kepada komputer doktor.

Kini, cara untuk membezakan tisu biasa dan tisu kanser melibatkan proses yang amat perlahan dan merbahaya, yang dipanggil frozen section analysis.

Proses ini amat berisiko kerana sekiranya seseorang pakar bedah itu tidak mampu membuang tisu kanser yang cukup, ia akan menyebabkan ketumbuhan itu untuk tumbuh semula.

Ia juga akan mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan pesakit sekiranya terlalu banyak tisu sihat dibuang.

Selain itu, proses ini juga amat menyakitkan dan boleh menyebabkan kerosakan saraf terhadap pesakit kanser payu dara manakala pesakit tiroid pula boleh hilang kemampuan untuk bercakap.

“Bila-bila masa sahaja kami boleh menawarkan kepada pesakit pembedahan yang lebih tepat, pembedahan lebih cepat atau pembedahan lebih selamat, itu adalah sesuatu yang ingin kami lakukan,” kata┬áKetua Pembedahan Endokrin di Baylor College of Medicine, James Suliburk.

Ujar beliau, teknologi baru ini mampu melakukan ketiga-tiga perkara di atas, dan ia akan membolehkan doktor untuk membezakan dengan lebih tepat tisu yang perlu dibuang dan dibiarkan.

Kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal Science Translational Medicine, dan kumpulan penyelidik berharap untuk memulakan ujian teknologi ini semasa melakukan pembedahan pada tahun depan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button