AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Diskriminasi Semua Muslim Di Myanmar

Penganiayaan dan diskriminasi masyarakat Muslim di Myanmar semakin meningkat, dan ia bukan sahaja melibatkan etnik Rohingya di negeri Rakhine.

Menurut Burma Human Rights Network (BHRN), diskriminasi ini menerima sokongan kerajaan Myanmar, sami-sami Buddha dan kumpulan orang awam ultra-nasionalis.

“Peralihan kepada demokrasi telah membolehkan prejudis popular untuk mempengaruhi cara kerajaan baru memerintah, dan telah menguatkan lagi naratif merbahaya yang menganggap Muslim sebagai kewujudan asing di Burma (Myanmar) yang majoritinya beragama Buddha,” kata BHRN dalam sebuah laporan.

Laporan tersebut merangkumi lebih daripada 350 temu bual di lebih daripada 46 bandar dan kampung yang mengambil tempoh selama 8 bulan sejak Mac 2016.

Walau bagaimanapun, kerajaan Myanmar tidak memberikan sebarang maklum balas segera terhadap laporan itu.

Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi – Sumber: eurasiadiary.com

Memetik laporan agensi berita Al-Jazeera, pihak berkuasa negara itu menafikan sebarang diskriminasi sambil menyatakan bahawa pasukan keselamatan di Rakhine sedang melaksanakan kempen yang sah dalam menentang “pengganas”.

Etnik muslim Rohingya terpaksa mengharungi pelbagai bentuk penganiayaan seperti penyeksaan, pembunuhan, selain daripada tidak diberi kerakyatan dan keperluan asas.

Pasukan keselamatan Myanmar dan pemimpin Aung San Suu Kyi juga telah menerima kritikan antarabangsa susulan kekejaman yang dilakukan terhadap Rohingya.

Episod kekejaman terbaru, yang bermula pada bulan Oktober lepas apabila kumpulan pejuang kecil Rohingya melakukan serangan hendap di pos sempadan, merupakan yang terburuk sejak beberapa tahun lalu.

Penganiayaan Etnik Rohingya – Sumber: gulfnews.com

Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyatakan bahawa tentera Myanmar telah melakukan pembunuhan besar-besaran atau ‘pembersihan etnik’.

Suu Kyi yang juga pemenang Anugerah Nobel Keamanan dan bekas banduan politik di bawah pemerintahan tentera sebelum ini, telah dikecam teruk kerana enggan bersuara mengenai layanan yang diberikan terhadap etnik Rohingya dan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap tentera yang melakukan kekejaman itu.

Beliau dilaporkan tidak memberikan sebarang komen sejak pertempuran terbaru mula tercetus pada 25 Ogos.

Selain masyarakat Muslim Rohingya, laporan BHRN juga mendapati bahawa masyarakat Muslim dari etnik lain di seluruh Myanmar turut disekat hak mereka.

BHRN berkata, ramai Muslim dari semua etnik tidak diberi kad identiti, dan akses kepada tempat-tempat ibadah juga telah disekat di segelintir kawasan.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 21 kampung di negara itu telah diisytiharkan sebagai “kawasan larangan” untuk orang Islam, dan perkara itu disokong oleh pihak berkuasa.

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button