Gaya HidupKesihatan

Diet Mengikut Jenis Darah

Diet mengikut jenis darah telah direka oleh Dr. Peter D’Adamo dari Amerika Syarikat. Ia bertujuan untuk mengubah tabiat pemakanan dengan mengambil kira tindak balas semula jadi  tubuh anda terhadap makanan serta kekebalan anda terhadap penyakit.

Antara fungsi darah  yang utama adalah menyebarkan oksigen ke seluruh tubuh badan

Menurutnya, idea itu pada mulanya telah dikembangkan oleh bapanya.

“Bapa saya menekankan idea bahawa tidak ada dua individu yang sama di muka bumi ini, serta jenis-jenis darah berbeza memainkan peranan dalam menentukan gaya hidup seorang individu,” kata D’Adamo kepada HuffPost Australia.

Pelbagai jenis-jenis darah berbeza

 

Cadangan Dr. D’Adamo bagi setiap jenis darah

Jenis darah O: Diet dengan kandungan protein tinggi lebih kepada daging tanpa lemak, ayam, ikan, dan sayur-sayuran, serta rendah bijirin, kacang dan tenusu. Beliau juga mencadangkan pengambilan pelbagai suplemen makanan untuk membantu masalah berkaitan perut dan isu lain yang mungkin dihadapi pemilik darah O.

Jenis darah A: Makanan bebas daging berasaskan buah-buahan dan sayur-sayuran, kacang dan kekacang, serta bijirin penuh – lebih baik jika ia organik dan segar, ini kerana beliau mengatakan orang yang mempunyai darah jenis A mempunyai sistem pertahanan badan yang sensitif.

Jenis darah B: Elakkan jagung, gandum, soba, dal, tomato, kacang, dan bijan. Ayam juga boleh menyebabkan masalah, katanya. Beliau menggalakkan makan sayur-sayuran hijau, telur, jenis-jenis daging tertentu, dan susu rendah lemak.

Jenis darah AB: Makanan yang perlu diberi lebih tumpuan termasuklah tauhu, makanan laut, tenusu, dan sayur-sayuran hijau. Beliau mengatakan pemilik jenis darah AB cenderung untuk mempunyai kandungan asid perut yang rendah. Elakkan kafein, alkohol, dan daging yang disalai ataupun diawet.

Ulasan pakar perubatan tentang diet ini

Dr Jason Mallia, pengamal perubatan yang mempunyai kepakaran dalam jenis darah di Integrated Health Australia berkata diet itu direka untuk membantu individu makan mengikut kesesuaian perut mereka.

Dr. Melina Jampolis di CNN pula telah secara terus berhubung dengan Dr. D’Adamo yang  mengatakan bahawa mereka yang mempunyai jenis darah yang berbeza akan mempunyai tindak balas berbeza terhadap sejenis bahan iaitu lektin.

Lektin terdapat pada  kebanyakan permukaan makanan. Jika anda makan makanan yang mungkin akan mengakibatkan tindak balas buruk terhadap kesihatan anda, tindak balas negatif (seperti keradangan) boleh mencetuskan penyakit yang berlainan pula mengikut jenis darah anda serta keletihan, pencernaan yang tidak baik serta peningkatan berat badan.

Senarai makanan yang perlu diberi perhatian mengikut jenis darah
Turun berat badan jika diamalkan dengan betul

Ulasnya lagi, ia bukan sahaja sejenis diet tetapi sebuah gaya hidup. Mengamalkan diet yang sesuai dengan jenis darah anda, boleh menyebabkan penurunan berat badan tetapi dengan syarat kandungan kalorinya rendah. Namun  untuk  mengekalkan kesan positif diet ini terhadap kesihatan, diet ini mesti diikuti seumur hidup.

Kritikan terhadap diet mengikut jenis darah

Namun begitu, walaupun sebanyak 7 juta salinan buku tentang diet ini telah berjaya dijual terdapat kritikan yang mengatakan diet ini tidak boleh diterima pakai oleh semua individu. Hal ini kerana sesetengah mereka akan mempunyai corak pemakanan yang berbeza disebabkan keadaan kesihatan (seperti penghidap kencing manis atau darah tinggi) ataupun diet mereka kerana ada yang memilih untuk mengamalkan diet vegetarian atau rendah karbohidrat.

Malah, Labmat mengatakan terdapat sebuah kajian yang dijalankan pada tahun 2014 oleh sekumpulan penyelidik dari Kanada yang menerangkan bahawa jenis darah tidak mempengaruhi tindak balas tubuh seseorang terhadap makanan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close