AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Turki ‘Hentam’ Retorik Anti-Turki Di Jerman Dan Austria

Kerajaan Turki telah ‘menghentam’ retorik anti-Turki yang digunakan oleh ahli-ahli politik Jerman dan Austria dalam kempen pilihan raya mereka yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Kementerian Luar Turki dalam satu kenyataan bertulis menyatakan bahawa mereka kesal dengan asas kempen pilihan raya yang dilakukan oleh Jerman dan Austria.

“Kami kesal dengan asas kempen pilihan raya pemimpin politik di Jerman dan Austria dalam anti-Turki dan juga dalam menghalang keahlian Turki dalam EU (Kesatuan Eropah),” kata kenyataan itu.

Tambahnya lagi, Turki menetapkan cara tersendiri dan mempunyai masa depan yang cerah, di mana perkara itu tidak dapat dilihat oleh ahli-ahli politik di negara-negara berkenaan.

Laporan Anadolu Agency berkata, retorik yang digunakan dalam pilihan raya itu merupakan satu masalah bagi Eropah.

Ujar kenyataan itu, ahli-ahli politik yang terlibat menggunakan elemen populis yang berlandaskan sikap anti-Turki, sedangkan mereka sepatutnya mencari jalan penyelesaian dalam menghadapi cabaran politik dan ekonomi yang bukan sahaja membahayakan Eropah, malah seluruh dunia.

Dalam pada itu, tiada sebarang keraguan bahawa sikap populis ini akan menggalakkan lagi menggalakkan lagi penyebaran xenofobia, perkauman, dan Islamofobia di Eropah, yang dilihat semakin meningkat dan membimbangkan.

Kenyataan tersebut turut mengingatkan ahli-ahli mengenai kepentingan hubungan dua hala mereka bersama Turki pada masa akan datang dan tanggungjawab politik mereka terhadap rakyat.

Pilihan Raya Umum Jerman akan berlangsung pada 24 September ini, dan Canselor Angela Merkel serta pesaingnya, Martin Schulz telah mengadakan sesi debat berhubung dasar Turki pada hari Ahad (3 September).

APA ITU RETORIK?

Retorik berasal daripada bahasa Greek iaitu “rhetor”, yang membawa maksud ‘pemidato’.

Ia merupakan sesuatu seni atau teknik untuk memujuk yang disalurkan melalui bahasa lisan, visual atau tulisan.

Dalam arena politik, retorik selalunya digunakan untuk memenangi hati rakyat supaya mendapat sokongan yang diperlukan untuk memenangi pilihan raya.

Walau bagaimanapun dalam kebanyakan senario, retorik politik hanyalah ‘janji-janji manis’ yang dibuat semasa berkempen, namun ia tidak ditunaikan selepas diberi mandat oleh rakyat.

XENOFOBIA DAN ISLAMOFOBIA

Xenofobia merupakan ketakutan atau kebencian tidak berasas yang amat mendalam terhadap orang-orang asing.

Ia juga adalah salah satu fobia yang lahir dalam diri seseorang atas ketakutan dan kebencian terhadap orang luar yang asing baginya yang berlainan dari segi agama, bangsa, adat budaya, ideologi, warganegara,  malah juga bahasa.

Selain itu, semangat perkauman atau kepuakan yang terlalu tinggi juga boleh mewujudkan perasaan ini dalam seseorang individu itu.

Islamofobia pula merupakan satu istilah yang digunakan untuk merujuk kepada diskriminasi terhadap agama Islam dan masyarakat Muslim.

Di negara-negara Eropah, gejala ini semakin berleluasa susulan pelbagai serangan pengganas yang kononnya dilakukan atas nama Islam.

Insiden ini sekali gus menyumbang kepada peningkatan jenayah kebencian terhadap umat Islam, di mana masyarakat Muslim di beberapa negara Barat menghadapi pelbagai bentuk diskriminasi dan penganiayaan.

Malah, terdapat juga beberapa kes jenayah kebencian yang melibatkan kecederaan fizikal seperti menyimbah asid, memukul, dan juga pembunuhan kejam.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button