AntarabangsaIsu Semasa

Siapa Penyampai Berita ‘Malapetaka’ Korea Utara?

Menjadi seorang pembaca berita merupakan impian bagi setiap individu yang menceburi bidang kewartawanan.

Tetapi, bagaimana pula jika anda dipilih sebagai seorang pembaca berita yang diberi tugas khusus hanya untuk menyampaikan berita berkenaan ‘malapetaka’ sahaja?

Inilah yang berlaku kepada Ri Chun Hee, seorang pembaca berita terkemuka di Korea Utara.

Memetik laporan Sky News, beliau adalah individu yang bertanggungjawab dalam menyampaikan berita-berita ‘penting’ mengenai perkembangan rejim itu, terutamanya dalam program nuklear dan pelancaran peluru berpandu mereka.

Dalam penampilan terbarunya, Chun Hee dilihat memakai pakaian berwarna merah jambu (warna kegemarannya) ketika mengumumkan bahawa Korea Utara telah menjalankan ujian bom hidrogen yang dikatakan 5 kali ganda lebih kuat berbanding bom atom yang dilepaskan di Nagasaki, Jepun, ketika Perang Dunia Kedua (WW2).

LATAR BELAKANG RINGKAS RI CHUN HEE

Dua bekas pemimpin Korea Utara, Kim Il Sung (kiri) dan Kim Jong Il (kanan) – Sumber: www.bbc.co.uk

Ri Chun Hee yang kini berusia 74 tahun dilahirkan di daerah Tongchon pada tahun 1943 dan berasal daripada keluarga miskin.

Beliau mengambil kursus dalam bidang Teater dan Filem di Pyongyang University dan membuat penampilan pertamanya di KCTV (media kerajaan Korea Utara) pada tahun 1971.

Pada tahun 1974, Chun Hee memegang jawatan ketua pembaca berita, di mana beliau turut diberi kepercayaan untuk menyampaikan pengumuman rasmi mengenai kematian dua orang bekas pemimpin negara itu, Kim Il Sung dan Kim Jong Il.

Selalunya, beliau akan menyampaikan berita dengan memakai pakaian warna kegemarannya atau pakaian berwarna cerah lain.

Tetapi, Chun Hee akan memakai pakaian berwarna hitam apabila melaporkan kematian kedua-dua pemimpin itu.

VETERAN YANG KEKAL LAMA DALAM BIDANG KEWARTAWANAN

Pakaian berbeza Chun Hee – Sumber: https://peru.com

Karier Chun Hee dalam dunia kewartawanan bertahan lama berbanding kakitangan-kakitangan lain yang telah diturunkan pangkat ataupun dibuang kerja.

Laporan BBC News menyatakan bahawa Chun Hee adalah seorang individu yang amat dihormati dan dipercayai oleh pemimpin-pemimpin negara itu, termasuk Kim Jong-un.

Beliau bersara sementara pada tahun 2012, namun muncul semula di kaca televisyen 4 tahun kemudian (2016) untuk mengumumkan pelancaran peluru berpandu.

Malah, beliau juga dilaporkan semakin aktif membuat penampilan sejak itu berikutan pelancaran peluru berpandu yang semakin kerap dilakukan oleh Jong-un.

SIAPA AKAN MENGGANTI CHUNG HEE NANTI?

Chun Hee di kaca televisyen – Sumber: www.theaustralian.com.au

Setiap perkara di dunia ini memerlukan pelapis supaya sesuatu legasi itu dapat diteruskan.

Jadi, siapakah yang akan mengambil alih tugas beliau apabila bersara sepenuhnya nanti?

Chun Hee sudah menjadi seorang nenek dan sedang menjalani kehidupan mewah bersama keluarganya di Pyongyang.

Tetapi, beliau juga dilihat sedang cuba ‘menjauhkan diri’ daripada berada di hadapan kamera.

Oleh itu, Chun Hee kini sedang memberi fokus untuk melatih golongan wanita muda untuk menjadi pembaca berita generasi baru sekali gus menggantikan tempatnya suatu hari nanti.

“Ramai pembaca berita wanita pada masa kini sangat muda dan cantik dan lebih sesuai untuk berada di hadapan penonton,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close