Sukan

Atlet Muda Berbasikal Dapat Tajaan Untuk Mengejar Impian Ke Olimpik 2020

Yayasan Sime Darby (YSD) bakal membantu Malaysia merealisasikan impian meraih kejayaan menerusi atlet berbasikal negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sebanyak RM2.6 juta diperuntukkan untuk enam atlet muda Malaysia di bawah Yayasan Pasukan Berbasikal Sime Darby bermula sekarang sehingga 31 Ogos 2020.

Enam atlet tersebut ialah Muhd Shah Firdaus Sahrom, Mohd Fadhil Mohd Zonis, Mohd Khairil Nizam Rasol, Mohd Shariz Efendi Mohd Shahrin, Farina Shawati Mohd Adnan dan Anis Amira Rosidi.

Pengerusi Yayasan Sime Darby (YSD), Tun Musa Hitam (tengah) bergambar bersama barisan pelumba basikal trek negara, dari kiri; Anis Amira Rosdi, Khairil Nizam Rasol, Shah Firdaus Sahrom, Farina Shawati Mohd Adnan, Firdaus Mohd Zonis dan Shariz Effendi Mohd Sharin. Turut kelihatan, Ketua Jurulatih trek berbasikal, John Beasley (4,kanan). Sumber Gambar: NSTP

Atlet-atlet ini merupakan pemenang pingat semasa Sukan SEA di Kuala Lumpur kelmarin kecuali Anis.

Sebelum ini YSD telah memberi tajaan kepada juara keirin dunia, Azizulhasi Awang dan Fatehah untuk Road to London 2012 dan Road to Rio 2016. Ini telah membantu Fatehah untuk mencatat sejarah sebagai pelumba basikal wanita negara pertama untuk bertanding di Olimpik London manakala Azizul telah meraih pingat Olimpik pertama negara dengan mendapatkan gangsa dalam acara keirin di Rio tahun lalu.

Enam atlet yang berusia di antara 19 sehingga 22 tahun ini akan menjalani sesi latihan bersama jurulatih John Beasley yang juga telah melahirkan rasa syukur di atas sokongan YSD kepada para pelapis basikal negara.

Memetik TheStar, Beasley berkata, “Objektif utama ialah untuk memenangi pingat emas Olimpik negara melalui Azizul tetapi saya juga mahu melihat atlet yang lain layak untuk menyertainya.

“Ianya sukar untuk menyertai Olimpik kerana kita perlu menjadi dua atlet teratas di Asia terdahulu. Jika kita mampu untuk melayakkan diri dalam acara berpasukan wanita dan lelaki, kita akan dapat peluang dalam dua lagi acara keirin dan pecut.

“Shah Firdaus hanya ketinggalan beberapa milimeter semasa Kejohanan Dunia Trek Berbasikal bulan Mac lalu di Hong Kong dan saya percaya dia boleh meraih kejayaan apabila tiba masanya ke Tokyo nanti.”

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close