AntarabangsaIsu Semasa

Romania Akan Guna Matawang Euro Menjelang 2022

Romania menyasarkan untuk menggunakan matawang tunggal Eropah (Euro) menjelang tahun 2022.

Menurut Menteri Luarnya, Teodor Melescanu, ekonomi negara itu sudah menepati syarat rasmi untuk menggunakan matawang tersebut, tetapi perlu menunggu selama 5 tahun untuk melindungi pendapatan pesara.

“Pada hari ini, kami sudah pun memenuhi semua syarat rasmi, kami boleh menyertai kesatuan matawang esok (jika mahu).

“Tetapi kami takut ia akan memberi kesan negatif kepada pendapatan pesara,” kata beliau pada hari Isnin, kelmarin.

Matawang Euro – Sumber: blog.currencykart.com

Memetik laporan Independent UK, Romania akan menjadi negara pertama untuk mengguna pakai matawang euro sejak Lithuania pada tahun 2015.

Setakat ini, 19 daripada 28 anggota negara Kesatuan Eropah (EU) menggunakan matawang tersebut.

Tetapi, Montenegro, walaupun bukan anggota EU, turut menggunakan euro sebagai matawang mereka secara unilateral.

“Saya rasa kami akan menggunakan euro dalam tempoh 5 tahun, menjelang 2022,” kata Melescanu.

Walau bagaimanapun, penilaian terkini Suruhanjaya Eropah dan Bank Pusat Eropah terhadap ekonomi Romania yang diterbitkan pada tahun 2016 mendapati bahawa negara itu masih tidak memenuhi kriteria untuk menyertai euro.

Selain itu, sekiranya Britain meninggalkan EU dan Romania menggunakan euro, ini bermakna 20 daripada 28 negara dalam blok itu akan menggunakan matawang berkenaan, sekali gus mengubah imbangan kuasa dalam EU, khususnya terhadap negara-negara yang menggunakannya.

Perlindungan dalam pasaran tunggal untuk negara-negara EU yang tidak menggunakan matawang euro sering menjadi topik perdebatan dalam blok tersebut.

Di bawah syarat perjanjian EU, anggota negara perlu menggunakan matawang euro, selepas ekonomi mereka memenuhi beberapa kriteria.

Namun, United Kingdom (UK) dan Denmark telah membuat rundingan rasmi untuk tidak menggunakan matawang tersebut.

Jadi secara tidak langsung, tiada paksaan terhadap negara-negara lain (seperti Sweden), untuk menggunakannya.

 

 

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close