AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Korea Selatan Dan Utara Terjejas Akibat Sekatan China

Akibat ketegangan geopolitik di Asia Utara, China telah mengetatkan sekatan ekonomi terhadap Korea Utara dan Korea Selatan.

Agensi berita Singapura, Straits Times melaporkan bahawa sekatan diketatkan ke atas Pyongyang kerana negara itu masih melancarkan peluru berpandu, manakala Seoul pula mengambil langkah-langkah pertahanan untuk menghalang serangan itu.

Salah satu cara China meluahkan ‘kekecewaan’ mereka terhadap peluru berpandu THAAD Korea Selatan adalah dengan menguatkuasakan larangan pakej percutian pelancong tempatan mereka ke negara itu.

Ini menyebabkan Korea Selatan kehilangan 2.3 juta pelancong China dalam tempoh 5 bulan mulai Februari sehingga Julai tahun ini.

Dari segi matawang dolar, Korea Selatan mengalami kerugian teruk dalam sektor pelancongan yang menyaksikan kejatuhan sebanyak AS$ 4.7 bilion (RM 20 bilion), dengan perbelanjaan purata AS$ 2,060 (RM 8,785) yang dibelanjakan oleh setiap pelancong dari China

Menurut Bank Pusat di Seoul, jualan kenderaan nasional, kosmetik dan barangan lain Korea Selatan di China akan memotong 0.3% daripada pertumbuhan ekonomi pada tahun ini.

Oleh kerana struktur harga yang rumit dan berbeza untuk pelbagai model kenderaan, amat sukar untuk menganggarkan impak yang melanda syarikat kenderaan nasional Korea Selatan.

Selain itu, Lotte Shopping Co. merupakan salah satu syarikat di Korea Selatan yang paling teruk terjejas. Syarikat tersebut memiliki sebuah padang golf, di mana pihak tentera telah memasang pertahanan peluru berpandu.

Ini mencetuskan kemarahan China kerana tanah padang golf tersebut telah diberikan oleh mereka kepada kerajaan Korea Selatan.

Korea Utara pula dikatakan sedang ‘merana’ akibat sekatan itu kerana China kini enggan membeli arang, bijih besi dan plumbum, yang menyumbang lebih daripada 50% eksport negara itu.

Pada tahun 2016, kira-kira 90% urusan perdagangan negara itu adalah bersama China. Pada awal tahun ini (Februari), China mengumumkan larangan pembelian arang dan bijih besi dari Pyongyang sepanjang tahun ini.

Sebelum larangan itu dikuatkuasakan, arang merangkumi setengah daripada semua eksport Korea Utara ke China.

Memburukkan lagi keadaan, China akan meningkatkan larangan terhadap produk-produk lain pula.

Antara bulan Mac hingga Julai pada tahun ini, eksport Korea Utara ke China menyaksikan kerugian sebanyak AS$ 380 juta (RM 1.6 bilion).

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker