Isu SemasaPolitikTempatan

Belia Main Peranan Penting Dalam PRU14

Pengundi belia memainkan peranan yang amat penting dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan datang.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, belia adalah golongan yang cenderung untuk menjadi ‘swing voter’s, di mana mereka sukar untuk diramalkan dan lebih mudah terpengaruh dengan keadaan politik, emosi mereka dan media sosial.

“Pengundi belia kadang-kadang amat mudah untuk mempercayai (maklumat yang disebarkan) di media sosial, walaupun ia adalah khabar angin, maklumat palsu atau fitnah,” katanya.

Dalam pada itu, belia juga lebih terbuka dalam menilai isu semasa, pemimpin dan parti politik dari semasa ke semasa untuk memilih parti yang terbaik untuk disokong.

Walau bagaimanapun, Hashim mempercayai bahawa pengundi veteran merupakan kumpulan yang lebih matang dan setia kepada parti-parti politik tertentu.

Memetik laporan The Star, beliau menegaskan golongan belia supaya mendaftar sebagai pengundi dengan segera dan tidak tunggu pada saat-saat terakhir untuk berbuat demikian, sekiranya mereka ingin mengundi dalam PRU14 nanti.

“Ia masih tidak tentu bila pilihan raya akan diadakan. Mungkin pada Oktober, Disember atau tahun depan,” katanya sambil menambah bahawa ia akan memakan masa 4 hingga 5 bulan bagi SPR untuk meletakkan pengundi dalam daftar pemilih.

Ini bermakna, pengundi-pengundi yang mendaftar pada bulan Jun tidak akan dapat mengundi sekiranya pilihan raya diadakan pada bulan Oktober.

 

JUMLAH PENGUNDI BERDAFTAR MENINGKAT 

Pada akhir suku pertama tahun ini, Malaysia mempunyai 14.51 juta pengundi berbanding tahun 2013 yang hanya mencatatkan 13.25 juta pengundi dalam PRU13.

Dalam PRU13, kira-kira 2.3 juta daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar merupakan pengundi pertama kali.

SPR juga telah membuang nama-nama pengundi yang telah meninggal dunia atau kehilangan kerakyatan mereka sekali gus meninggalkan hanya 62,620 pengundi yang berusia atas 90 tahun dalam daftar pemilih.

 

BELIA SUDAH BOSAN DENGAN ‘DRAMA POLITIK’

Antara punca utama mengapa ramai golongan belia semakin ‘fed up’ dengan politik negara adalah kerana drama dan perbalahan yang tiada penghujungnya di antara kerajaan dan pembangkang.

Mereka juga ingin melihat wajah-wajah baru untuk menjadi wakil rakyat kerana semakin bosan dengan karenah wakil-wakil rakyat (tanpa mengira parti) yang sudah veteran, namun masih gagal memberikan sumbangan terbaik kepada rakyat.

Belia pada zaman kini amat berpegang pada prinsip ‘action speaks louder than words’, di mana mereka mahukan perubahan yang sebenar, bukan hanya ‘janji-janji manis’ yang tidak membawa sebarang makna.

Oleh itu, golongan muda amat mementingkan masa depan negara dan mahu lihat perubahan positif terutamanya dari aspek pendidikan, kos sara hidup, peluang pekerjaan serta pendapatan bulanan.

Kuasa mengundi dan sokongan belia juga menjadi penentu sama ada sesebuah parti politik itu masih relevan ataupun tidak, memandangkan mereka adalah pelapis yang akan memimpin negara pada masa hadapan.

Kini, faktor globalisasi memainkan peranan besar, kerana ia membuka ruang kepada golongan muda untuk memperoleh pelbagai idea baru dalam usaha memperbaiki pentadbiran negara.

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button