AntarabangsaIsu Semasa

Kanak-Kanak Syria Trauma Akibat Kekejaman IS

Ramai kanak-kanak di Syria mengalami trauma yang amat teruk akibat peperangan di negara itu, dan ia akan mengambil masa berdekad-dekad untuk mereka pulih.

Di bandar Raqqa, pendidikan dan waktu bermain sudah tidak wujud lagi, dan menurut seorang remaja berusia 13 tahun, melihat bom jatuh dari langit dan mayat yang tidak berkepala adalah sebahagian daripada kehidupan seharian golongan muda di situ.

Memetik laporan Sky News, ruang-ruang yang sepatutnya menjadi tempat bermain untuk kanak-kanak telah menjadi tempat lambakan mayat yang telah dipenggal kepalanya oleh rejim brutal militan IS.

 

KANAK-KANAK SAKSI KEKEJAMAN IS

Seorang kanak-kanak perempuan yang dikenali sebagai Raasida (bukan nama sebenar) sempat menyaksikan kumpulan militan itu memenggal kepala beberapa orang dan kemudian hanya meninggalkan mayat mereka di sana.

“Kami melihatnya dan saya tidak mampu untuk menghadapinya. Saya mahu tidur tetapi gagal apabila teringat apa yang saya lihat,” kata Raasida.

Kekejaman IS tidak terhenti di situ sahaja, malah mereka turut melaksanakan hukuman-hukuman lain yang tidak berperikemanusiaan dan bercanggah dengan ajaran sebenar Islam.

Dalam pada itu, Farida (bukan nama sebenar), gadis berusia 13 tahun menjelaskan bahawa wanita akan direjam menggunakan batu jika melakukan sebarang kesalahan.

“Dan mereka (IS) akan terus merejamnya sampai mati….Dan mereka memotong tangan, kepala dan kakinya juga…mereka memotong semuanya,” kata gadis itu.

Ujar Farida, golongan perokok juga akan dikenakan hukuman kejam, di mana jari-jemari mereka yang digunakan untuk merokok akan dipotong.

Selain itu, kumpulan pengganas tersebut turut menjahit mulut individu yang bercakap buruk tentang mereka.

“Ada seseorang (lelaki), saya tidak tahu apa yang dia cakap, tetapi mereka (IS) menjahit mulutnya. Dia bercakap sesuatu tentang IS dan mereka menjahit mulutnya,” kata Farida.

Tambah gadis itu lagi, darah keluar daripada mulut lelaki berkenaan ketika disebat oleh anggota IS.

 

TERUS BERTAHAN ATAU LARI?

Keluarga-keluarga di bandar itu berhadapan pilihan yang sukar dan mustahil, iaitu sama ada terus bertahan untuk hidup di medan peperangan itu atau mengambil risiko cuba untuk melarikan diri.

Pengarah Save the Children di Amman, Sonia Khush berkata, kanak-kanak telah melarikan diri dari Raqqa untuk beberapa bulan dan mereka menunjukkan tanda-tanda jelas mengalami tekanan toksik dan trauma.

“Ini adalah jenis tekanan yang terkumpul selama berbulan-bulan disebabkan terdedah dengan keganasan, serangan, pengeboman, dan hidup di bawah pengepungan,” kata Khush.

Ujar beliau, trauma seperti ini akan menghantui hidup kanak-kanak tersebut selama bertahun-tahun.

Setakat ini, majoriti daripada 300,000 penduduk bandar Raqqa telah melarikan diri, di mana hanya 18,000 dan 25,000 penduduk dianggarkan masih kekal di kawasan itu.

Dalam pada itu, hampir setengah daripada jumlah yang masih kekal adalah golongan kanak-kanak.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker