Isu SemasaTempatan

26 Maskot Watak Animasi Sertai Perarakan Hari Kebangsaan

Kontinjen animasi yang akan menyertai perarakan dan perbarisan pada Hari Kebangsaan 2017 dijangka menjadi tumpuan ramai apabila turut disertai 26 maskot watak utama animasi terkenal negara.

Menurut Bernama, antara maskot yang akan ditampilkan ialah BoboiBoy, Chuck Chicken, Kluang Man, Awang Khenit, Didi and Friends serta Chichi dan Chacha.

Penyelaras Kontinjen Animasi, Nik Ramzi Nik Hassan berkata, maskot yang akan menyertai perarakan itu merupakan gabungan watak utama daripada 15 syarikat animasi tempatan.

“Kalau kontinjen lain membuat penampilan yang lebih serius dan bersifat kedewasaan, sebaliknya kontinjen animasi pula lebih memfokuskan kanak-kanak dengan penampilan maskot ini.

Sebelum ini, hanya 16 maskot yang ditampilkan dalam acara ini tetapi kali ini lebih banyak watak animasi akan menyertai perarakan dengan sebanyak 26 maskot akan berarak bersama. Apa yang lebih menarik, maskot berkenaan akan bersama-sama menyanyi serta menari lagu bertemakan kemerdekaan yang telah disusun semula lirik serta rentaknya.

Beliau berkata selain maskot tersebut, tiga belon gergasi watak animasi Ejen Ali, Omar dan Ummi serta enam basikal roda tiga juga akan dibawa masuk pada perarakan itu.

Secara keseluruhannya seramai 200 peserta akan mewakili kontinjen ini yang mana mereka terdiri daripada pengendali belon gergasi, maskot serta pengiring.

Penonton juga akan dipersembahkan dengan tayangan video animasi khas pada sambutan Hari Kebangsaan ini. Watak-watak maskot ini sememangnya ditunggu-tunggu terutama oleh kanak-kanak dan inilah masanya untuk orang ramai mendekati watak utama animasi yang selama ini hanya dapat ditonton menerusi kaca televisyen sahaja.

kemeriahan sambutan hari kebangsaan di dataran merdeka

Pada tahun ini kira-kira 17,000 peserta daripada pelbagai agensi dan umur menyertai perbarisan itu dengan anggaran penyertaan antara 400,000 hingga 500,000 orang pengunjung.

Pengunjung dialu-alukan hadir pada 31 Ogos ini bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dengan memakai pakaian bertemakan warna Jalur Gemilang iaitu merah, putih dan biru.

Terdapat 10 segmen persembahan dan perarakan iaitu kenegaraan, perkhidmatan awam, ekonomi, animasi, sukan, jati diri, ketenteraman awam, keselamatan negara, pertunjukan udara dan segmen rakyat bersepadu.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close