Isu SemasaTempatan

Rakyat Malaysia ‘Dijajah’ Oleh Teknologi Maklumat

31 Ogos pada tahun ini menandakan Hari Kemerdekaan ke-60 bagi seluruh rakyat Malaysia.

Tetapi, adakah kita benar-benar sudah merdeka, khususnya daripada aspek pemikiran dan mentaliti? Tambah-tambah lagi dalam zaman moden yang bergantung penuh pada teknologi maklumat (IT) yang semakin canggih.

Mungkin kita sudah bebas daripada penjajahan koloni British, tetapi kita kini ‘dijajah’ oleh teknologi canggih yang berada di sekeliling kita.

 

PERKEMBANGAN IT DI MALAYSIA

Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.propojme.cz

Menurut Dr Duryana Mohamed, pensyarah di Jabatan Amalan Undang-Undang (LPD), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dalam penulisannya di Berita Harian, IT mula berkembang di Malaysia sejak tahun 1990-an lagi.

Pada tahun 1996, kerajaan telah menubuhkan Koridor Raya Multimedia (MSC) dengan matlamat untuk melonjakkan perniagaan melalui internet dan industri berasaskan IT, di mana pelbagai kemudahan dan insentif turut diwujudkan demi memastikan kejayaan industri yang melabur di negara ini.

Di samping itu, kerajaan bercadang untuk mewujudkan masyarakat yang celik IT dan mencapai ekonomi berasaskan produk (k-product) dan pengetahuan (k-economy).

Untuk menjamin kebebasan menggunakan Internet, ‘Bill of Guarantee’ telah ditubuhkan supaya rakyat Malaysia boleh menggunakan internet tanpa sekatan dan terus maju kehadapan.

 

KEBURUKAN KEBEBASAN MENGGUNAKAN INTERNET

Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.hackers-arise.com

Walaupun kebebasan internet menggalakkan rakyat untuk terus maju, ia turut menyumbang kesan negatif kepada negara, termasuk kejatuhan ekonomi, pergolakan politik, masalah sosial, serta isu-isu sensitif di atas talian (online) seperti hasutan, penipuan, penyalahgunaan rangkaian internet dan eksploitasi kanak-kanak.

Dr Duryana berkata, beberapa undang-undang siber telah diluluskan pada 1997 dan undang-undang berkaitan penggunaan internet/teknologi maklumat terus disemak semula sehingga hari ini.

“Sebenarnya, terlalu banyak kesan negatif yang wujud walaupun tidak dinafikan memang ada kesan positif. Jika dihuraikan di sini tidak akan tamat,” katanya.

Pelbagai kajian dan laporan mendapati bahawa ramai kanak-kanak menjadi mangsa eksploitasi secara seksual, para wanita terjerat oleh cinta siber, dan lain-lain.

Tambah beliau, kewujudan fitnah siber di media sosial (Facebook, Twitter, dan sebagainya) juga memburukkan lagi keadaan.

 

BAHAYA MAKLUMAT PALSU DAN BUDAYA ‘TROLL’

Gambar sekadar hiasan – Sumber: nautil.us

Jika kita lihat, ramai pengguna media sosial masih belum matang dan bijak untuk membezakan maklumat sahih dan palsu.

Malah, terdapat juga segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang mencipta menggunakan agama untuk kepentingan diri sendiri, di mana mereka akan mencipta sendiri dan menyebarkan hadis-hadis palsu hanya untuk mendapatkan ‘like’ atau perhatian selain daripada mencetuskan perbalahan antara pengguna.

Maka, akan bermulalah sesi debat online yang tiada penghujungnya yang menyaksikan penggunaan bahasa kasar dan caci maki di antara pengguna.

Memburukkan lagi keadaan, penyebaran hadis palsu ini boleh menggugat akidah individu-individu yang tidak mengetahui asas-asas agama.

Dalam pada itu, budaya ‘troll’ juga semakin popular dikalangan pengguna-pengguna media sosial.

Mereka gemar melihat dan menyebarkan perkara-perkara yang berunsur ‘lawak’ dan menjadikan aib seseorang individu itu sebagai bahan hiburan.

Ini akan menyebabkan mangsa ‘troll’ menghadapi tekanan emosi dan kemurungan. Jika tidak terkawal, ia boleh membawa kepada kes bunuh diri.

 

MERDEKAKAN DIRI DARIPADA PENJAJAHAN IT

Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.friendshipdaystatus.net

Ujar Dr. Duryana, pihak kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif dari segi undang-undang, untuk menangani serangan siber yang memberi impak besar terhadap masyarakat dan negara.

Pelbagai pindaan dan penggubalan undang-undang telah dilaksanakan, tetapi penjajahan minda melalui internet masih berlaku.

Beliau berkata, ini bermakna undang-undang sedia ada masih belum 100% berkesan untuk menghapuskan serangan siber.

“Dalam hal ini, internet umpama candu atau dadah yang masih menjadi pilihan mereka yang hilang arah kerana rasanya satu nikmat walaupun kesannya amat perit,” katanya.

Tegas beliau, rakyat Malaysia perlu menganggap internet dan IT hanya sebagai medium yang diwujudkan untuk kemudahan berinteraksi, sambil menasihati supaya kemudahan ini digunakan untuk kebaikan manusia sejagat.

“Tiada apa yang lebih baik di dunia ini melainkan mereka yang sentiasa berbuat kebaikan dan berpegang teguh pada ajaran agamanya.

“Demi negara Malaysia yang tercinta, marilah kita memerdekakan diri kita daripada sebarang penjajahan internet dan bersama-sama sehati sejiwa membendung ancaman siber,” kata beliau.

 

 

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close