AntarabangsaIsu Semasa

Pengangkutan Awam Wujudkan 167,000 Peluang Pekerjaan

Kerajaan Arab Saudi mewujudkan kira-kira 167,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan selepas menguatkuasakan undang-undang yang melarang warga asing untuk bekerja sebagai pemandu dalam sektor pengangkutan negara itu, khususnya e-hailing.

Menurut ketua Suruhanjaya Pengangkutan Awam, Dr Rumaih bin Mohammed Al-Rumaih, jumlah pekerja tempatan yang bekerja dengan syarikat-syarikat pengangkutan seperti Uber dan Careem meningkat daripada 10% hingga 95% hasil daripada perubahan peraturan yang dilaksanakan.

Memetik laporan Arabian Business, sejak mula dikuatkuasakan, warga asing dilarang untuk bekerja dengan syarikat Careem menggunakan kenderaan peribadi mereka.

Walau bagaimanapun, ekspatriat masih dibenarkan untuk bekerja dengan perkhidmatan e-hailing melalui syarikat-syarikat swasta lain dan teksi awam.

“Ini membantu mewujudkan 167,000 peluang pekerjaan untuk setiap lapisan masyarakat. Sebagai contoh, jumlah pemandu berusia 22-25 tahun telah mencapai 45,156 orang,” katanya.

Ujar beliau lagi, kepuasan dalam kalangan pelanggan juga telah meningkat dengan drastik apabila sektor tersebut hanya dibuka khas untuk warga tempatan sahaja.

Sementara itu, timbalan suruhanjaya, Fawaz Al-Sehli berkata, keputusan yang diambil telah menyelamatkan ratusan juta matawang negara itu (Riyal) dalam urusniaga kiriman wang asing.

Langkah itu juga merupakan sebahagian daripada usaha besar kerajaan untuk mengurangkan pengangguran dalam kalangan rakyat Arab Saudi dengan mengambil mereka bekerja dalam beberapa sektor lain.

Selain daripada pengangkutan, inisiatif ini termasuk pengambilan pekerja dalam kedai-kedai yang menjual barangan khusus wanita, pejabat kereta sewa, kedai runcit dan juga bahagian pengurusan di syarikat-syarikat pelancongan.

 

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close