Tempatan

Pelepas 101 Merpati Pada Hari Kebangsaan Akan Ulangi Detik Manis

Pada hari yang bersejarah iaitu 16 Sept 1963, Rusnah Aksah ditugaskan untuk melepaskan 101 merpati di Stadium Merdeka, pada majlis pengisytiharan pembentukan Malaysia di hadapan 35,000 khalayak termasuk Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Ketika itu, Rusnah hanya berumur 12 tahun. Dengan berpakaian serba putih, Rusnah melepaskan 101 burung merpati yang menjadi simbolik pembebasan negara daripada Britain.

“Daripada ribuan orang yang mungkin layak, saya yang diberi penghormatan itu. Nama saya terpahat dalam sejarah kerana peristiwa keramat itu hanya berlaku sekali sahaja buat selamanya,” katanya kepada Bernama, sambil tersenyum mengenang semula peristiwa itu.

Bercerita tentang pemilihannnya, Rusnah berkata ia mungkin disebabkan beliau adalah penerima Pingat Hang Tuah pada 6 Okt 1962 daripada Yang di-Pertuan Agong ke-3, Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Beliau merupakan penerima ke-3 pingat itu selepas diperkenalkan pada 1960, dan kekal menjadi penerima perempuan tunggal, daripada semua 18 penerima, sebelum anugerah itu ditamatkan pada 1978.

Katanya pingat Hang Tuah itu diterimanya sebagai menghargai tindakannya menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia 3 tahun, Tan Kim Cheng yang lemas di Sungai Semenyih, Selangor berhampiran dengan berek polis kediaman keluarganya, pada 24 Feb 1961.

“Saya teringat melihat sesuatu di dalam sungai. Berfikir bahawa ia adalah haiwan liar, saya hanya melompat masuk dan cuba menyelamatkannya dan ternyata adalah seorang gadis kecil,” katanya.

“Bila saya terima pingat Hang Tuah, saya tidak mengharapkan balasan tetapi tiba-tiba dipanggil  untuk terlibat dengan Hari Malaysia. Sejak itu, saya ingatkan diri pentingnya kita ada sikap ikhlas dalam melakukan apa sahaja pekerjaan,” katanya.

Hari Kebangsaan 2017

Selepas 54 tahun, beliau sekali lagi diberi penghormatan untuk mengulangi detik manis dengan melepaskan 60 merpati pada satu acara persembahan Hari Kebangsaan 2017 31 Ogos ini di Dataran Merdeka, yang merupakan penghargaan berganda buat dirinya.

Memetik Bernama, beliau akan berbaju kurung putih seperti yang dipakainya dalam peristiwa bersejarah 54 tahun lalu.

Patriotisme golongan muda

Beliau juga berkongsi pandangan mengenai semangat patriotisme golongan muda sekarang. Rusnah berkata golongan muda kini dilihat kurang bersemangat untuk menyumbang tenaga selain tidak mempunyai semangat patriotik yang tebal dalam diri.

“Mereka lahir sudah dalam keadaan senang. Anak-anak semakin manja. Sepatutnya mereka lebih hargai dan lebih patriotik…patut tahu jika bukan kerana semangat patriotik orang dahulu, tidak mungkin mereka boleh menikamati kehidupan seperti ini,” katanya.

Beliau berharap sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan dapat menyemai sikap patriotik dalam kalangan anak muda, yang berhadapan dengan risiko penjajahan bentuk moden.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close