Antarabangsa

China Bakal Membuat Pemindahan Organ Babi Ke Manusia

Saintis di China berkata mereka sedang menunggu kelulusan dari kerajaan untuk ujian klinikal menggunakan organ babi yang diubah suai secara genetik untuk dipindahkan ke atas manusia.

Menurut satu penyelidik daripada projek xenotransplantasi kebangsaan, pembedahan pemindahan pertama mungkin menjadi kenyataan dalam masa dua tahun lagi,

Ujian pembedahan pemindahan baru-baru ini di China dan negara lain kepada monyet dan haiwan lain menunjukkan ia boleh hidup untuk jangka masa yang panjang – kadang-kadang sehingga beberapa tahun – selepas menerima pemindahan organ babi.

China mempunyai ladang babi-kloning terbesar di dunia yang boleh membekalkan babi yang dibiakkan khusus untuk pemindahan hati dan organ lain kepada manusia.

Terdapat juga permintaan besar untuk pembedahan pemindahan organ babi di China memandangkan China mempunyai kadar penyakit yang tinggi seperti penyakit kardiovaskular, kanser paru-paru dan hepatitis yang mengakibatkan kegagalan organ.

“Terdapat pesakit yang tenat kerana kegagalan organ dan keluarga mereka terdesak,” kata Zhao. “Tetapi apabila kita bertanya kepada pihak berkuasa, mereka hanya berdiam. Kami memahami ia sangat susah bagi kerajaan untuk membuat keputusan, tetapi sudah masanya kami dapat jawapan,” kata Zhao Zijian, pengarah Pusat Penyelidikan Penyakit Metabolik di Nanjing Medical University di Jiangsu.

Beijing menghentikan amalan mendapatkan organ-organ daripada penjenayah yang dikenakan hukuman mati pada tahun 2015 iaitu sumber utamanya selama beberapa dekad. Ia membawa kebimbangan mengenai kekurangan penderma untuk memenuhi keperluan transplantasi negara paling banyak di dunia.

Menurut pihak berkuasa kesihatan China, kurang daripada 10,000 orang mendermakan organ mereka dari 2010 hingga 2016 – tetapi lebih daripada 1.5 juta pesakit memerlukan pemindahan setiap tahun.

Eksperimen yang berjaya

Organ-organ babi dianggap sebagai calon haiwan terbaik untuk pemindahan kepada manusia kerana mereka adalah paling serupa dari segi saiz dan metabolisme. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, penyelidik dari seluruh dunia telah mencapai kejayaan menggunakan organ babi dalam xenotransplantasi.

Haiwan babun selamat hidup selama hampir tiga tahun menggunakan hati babi di Institut Kesihatan Nasional di Amerika Syarikat, menurut satu laporan majalah Science tahun lepas.

Eksperimen haiwan yang sama menggunakan organ-organ lain seperti paru-paru, buah pinggang dan hati telah dijalankan di Eropah, Korea Selatan dan Jepun.

Pemindahan kornea babi sudah dijalankan di China sejak tahun 2010. Penglihatan bagi lebih daripada 100 pesakit berjaya dipulihkan dengan pembedahan.

Walau bagaimanapun, untuk pemindahan organ, risikonya lebih tinggi kerana badan manusia boleh menolak organ tersebut.

Pendapat pakar lain

Seorang penyelidik lain di Beijing berkata kebanyakan saintis percaya pemindahan organ babi kepada manusia masih lama lagi dan pastinya tidak akan berlaku dalam beberapa tahun akan datang.

Eksperimen yang telah dijalankan kebanyakannya dilakukan pada haiwan yang genetiknya telah diubah suai, seperti monyet yang ditutup sistem imunnya, menurut satu penyelidik, dari Institut Zoologi di Akademi Sains China.

“Kami pasti ia tidak dapat dilakukan dengan manusia – sistem imun manusia dengan mudah boleh mengenali dan menyerang organ walaupun ia daripada manusia lain,” katanya.

“Transplantasi babi akan mengambil sedikit masa, mungkin beberapa tahun atau bahkan beberapa dekad.”

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close