AntarabangsaIsu Semasa

Thailand Haramkan Iklan Makanan Bayi, Gesa Ibu Menyusu

Undang-undang baru yang mengharamkan pengeluar, pengimport dan pengedar dari pengiklanan dan pemasaran susu formula atau susu tepung dan produk makanan lain untuk kanak-kanak akan berkuatkuasa bulan depan di Thailand.

Jabatan Kesihatan telah mengesahkan bahawa Kawalan Pemasaran Akta Makanan Bayi dan Kanak-kanak 2017 yang telah diterbitkan dalam Warta Kerajaan pada 10 Julai, akan berkuat kuasa pada 9 September depan.

Bayi yang baru lahir sehingga usia enam bulan seharusnya diberi susu ibu. Selepas enam bulan, mereka boleh mengambil susu ibu bersama makanan atau suplemen lain yang diperlukan.

Menurut TheStar, undang-undang baru ini melarang pengiklanan susu formula atau mana-mana makanan untuk kanak-kanak atau mengiklankan bahawa produk terbabit sesuai untuk bayi.

Undang-undang ini mengharamkan iklan produk makanan tambahan untuk bayi dalam apa jua bentuk untuk mendapatkan keuntungan komersial. Ini termasuk paparan gambar atau penggunaan bahan media lain dalam pengiklanan produk makanan bayi.

Jabatan Kesihatan telah menggesa ibu-ibu Thai menyusukan bayi mereka mengikut cadangan kod 1-6-2, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, yang menyusukan bayi yang baru lahir dalam masa satu jam selepas kelahiran, menyusukan bayi sehingga bayi itu berusia enam bulan, dan menyusukan bayi bersama-sama jenis makanan lain sehingga berusia dua tahun atau lebih.

Undang-undang baru itu adalah salah satu dari tiga aspek yang berkaitan dengan jabatan itu. Dua aspek lain ialah promosi latihan untuk penjagaan kesihatan dan kakitangan perubatan untuk memberi pengetahuan kepada ibu-ibu dan keluarga baru mengenai penyusuan selain memastikan tempat kerja dan tempat awam memberi kemudahan untuk ibu menyusu.

Thailand mempunyai salah satu daripada kadar penyusuan yang paling rendah di dunia dengan 12.3 peratus, menurut pangkalan data global 2016 oleh UNICEF.

Agensi PBB berkata ibu Thailand menghadapi “beberapa halangan” untuk menyusukan bayi, termasuk pemasaran susu formula bayi yang terlalu banyak dan halangan bekerja selepas tiga bulan cuti bersalin.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close