TeknologiTempatan

Adik Ini Mempunyai Tangan Prostetik Iron Man

Menghadiri sekolah adalah pengalaman yang menyakitkan bagi Muhammad Fathul Naqib Fakrul Iskar, yang terpaksa menghadapi ejekan daripada pelajar lain setiap hari kerana dilahirkan tanpa lengan kiri. Fathul, menyaksikan aktiviti sehariannya terhad, malah sukar bermain.

Ia adalah sebuah mimpi yang menjadi kenyataan ketika Fathul yang berusia tujuh tahun menerima tangan prostetiknya hari ini kerana akhirnya dia merasa seperti kanak-kanak biasa.

“Saya mempunyai sedikit kawan ketika saya tidak mempunyai tangan prostetik. Orang lain biasa pandang saya seolah-olah saya pelik dan juga membahan saya.

“Selepas ini, saya boleh keluar dan bermain seperti kanak-kanak biasa. Sekarang saya juga mempunyai banyak kawan.

“Kawan-kawan saya sangat teruja untuk melihat tangan prostetik saya dan mereka memanggil saya ‘Iron Man’ kerana tangan saya berwarna merah dan coklat muda. Saya pasti berasa kuat dan yakin dengan tangan saya yang baru,” kata pelajar dari Kemaman, Terengganu.

Anak lelaki itu berkata gusti tangan adalah permainan kegemarannya sekarang kerana dia mempunyai cengkaman yang kuat dan dapat memenangi setiap permainan yang dimainkannya.

Menurut News Strait Times, tangan prostetik ini menjadi kenyataan oleh kerana syarikat MyVista yang terlibat dalam pengeluaran anggota prostetik menerusi teknologi percetakan 3D.

Disokong oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), syarikat itu menyediakan prostetik percuma untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik, terutama kanak-kanak, untuk menjalani kehidupan normal.

Terdahulunya ibu Fathul telah menghubungi Sujana Mohd Rejab, iaitu CEO MyVista kerana sedih anaknya selalu dibahan oleh pelajar lain.

Selain Fathul, Sujana yang berasal dari Taiping, juga telah mencipta lebih daripada 50 jenis anggota prostetik untuk penduduk setempat dan juga untuk orang di seluruh dunia.

“Saya mula mereka bentuk prostetik sejak tahun 2013 dengan harapan dapat membantu golongan yang kurang bernasib baik. Reka bentuk saya tidak berteknologi tinggi berbanding anggota mekanikal lain tetapi saya cuba melakukan yang terbaik.

“Saya perlu mengucapkan terima kasih kepada NCIA kerana menyokong kerja saya dan memberi anggota percuma kepada orang yang memerlukan,” katanya. Bekas guru Bahasa Inggeris itu juga berharap untuk mencipta anggota bionik berteknologi tinggi untuk menyediakan produk berkualiti kepada yang kurang mampu.”

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close