Isu SemasaTempatan

Manfaat Projek ECRL Kepada Rakyat Malaysia

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan projek mega kereta api dari Lembah Klang ke Pahang, Terengganu dan berakhir di Kelantan, di mana ia akan menghubungkan bandar seperti Pelabuhan Klang, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Tumpat.

Projek bernilai kira-kira 55 bilion dengan landasan sepanjang 688 km itu tersenarai dalam Bajet 2017 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada tahun lalu, dan ia dianggarkan untuk siap dalam menjelang tahun 2024.

Perdana Menteri menyifatkan projek ini sebagai pencetus perubahan dan haluan pemikiran bagi Malaysia memandangkan ia akan mengurangkan masa perjalanan pergi dan balik ke pantai timur Semenanjung.

 

MANFAAT ECRL

Memetik laporan Astro Awani, perjalanan kereta api dari Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) di Gombak, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan, dijangka akan mengambil masa kurang dari empat jam berbanding purata 8 jam (atau 12 jam ke atas semasa musim perayaan) pada waktu ini.

ECRL dikatakan mempunyai 8 gerabak bagi setiap kereta api, di mana setiap kereta api mampu menampung 600 penumpang.

Projek ini juga akan dapat membantu mengurangkan kos perjalanan dan pengangkutan kargo ke Pantai Timur yang mempunayi populasi penduduk dalam lingkungan 4.4 juta orang.

Perdana Menteri berkata, projek ini juga akan menentukan rentak kesan limpahan ekonomi dan impak sosial yang positif bagi negeri-negeri di pantai timur.

“Ia juga akan menjadi pemangkin bagi kesaksamaan ekonomi antara pantai barat dan pantai timur kerana akan turut merangsang pelaburan, menggalakkan kegiatan komersial, mewujudkan pekerjaan yang mencukupi, memudahkan pendidikan berkualiti dan merancakkan industri pelancongan di Pahang, Terengganu dan Kelantan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, kerajaan juga telah menggariskan kepentingan Malaysia dalam projek ini yang akan memberi manfaat kepada kontraktor dan para pelajar tempatan.

Berdasarkan perjanjian yang telah dibuat dengan China, projek ini melibatkan sekurang-kurangnya 30% kontraktor Malaysia.

Kira-kira 3,600 pelajar pula akan diberi peluang menimba kemahiran untuk bekerja dengan ECRL menerusi sebuah program latihan industri yang dilancarkan pada 14 Jun.

Dalam program itu, para pelajar akan dilatih mengikut sukatan pelajaran yang disediakan oleh dua universiti terkemuka China dan sembilan institut pendidikan tinggi Malaysia.

 

PELABURAN JANGKA MASA PANJANG

Dalam pada itu, penduduk yang terlibat dengan projek ECRL ini dinasihatkan supaya tidak menjual tanah mereka untuk mendapatkan keuntungan segera, kerana ini mampu dijadikan pelaburan jangka masa panjang.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, tanah yang terlibat dalam projek berkenaan bernilai tinggi dan boleh dibangunkan dengan pelbagai projek jangka panjang.

Beliau berkata, kawasan tersebut boleh dimajukan dengan pelbagai projek hartanah, ladang, kedai perniagaan dan sebagainya, yang boleh membawa keuntungan lebih banyak.

“Pada masa kini memang kawasan tanah tersebut diselaputi hutan belantara dan tiada harga atau bernilai, tetapi apabila projek ECRL dilaksanakan sepenuhnya, banyak peluang perniagaan boleh dijalankan,” katanya.

 

TIDAK MENGGUGAT KEDAULATAN NEGARA

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir pihak yang mendakwa bahawa ia akan menggugat kedaulatan negara.

Namun menurut Perdana Menteri, projek ini sebaliknya akan mendatangkan keselasaan kepada rakyat Malaysia, khususnya mereka yang menetap di Pantai Timur.

“Yang saya musykil bila projek ini begitu menguntungkan negara khususnya negeri Pantai Timur, dan diakui boleh menjadi game-changer (pendekatan khusus), boleh mengubah gaya hidup kita lebih moden, lebih progresif…ada pula orang yang cuba menidakkan usaha ini kononnya kita menjual kedaulatan negara,” katanya,” kata beliau.

Projek berkenaan merupakan salah satu agenda kerajaan dalam Dasar Transformasi negara untuk membangunkan pengangkutan awam darat yang moden.

Selain daripada memudahkan rakyat, ia juga akan memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM50.1 bilion serta merangsang pertumbuhan antara satu hingga 1.5 peratus setiap tahun kepada KDNK Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button