Sukan

Doktor Yang Mahu Pasukan Gimnas Negara Raih 6 Emas

Dr. Farrah-Hani Imran yang pernah menjadi atlet gimnas negara pada tahun 1989-1994 dan pernah memegang gelaran Ratu Gimnastik Negara, serta mengharumkan nama negara di pelbagai pentas antarabangsa kini telah kembali dalam arena sukan untuk memastikan skuad gimrama negara meraih emas pada Sukan SEA 2017.

Ternyata semangat kesukanan Dr. Farrah-Hani yang juga merupakan duta belia TN50 tidak pernah luntur dari jiwa beliau.

Beliau yang menyandang tanggungjawab sebagai pengurus bagi pasukan gimnastik berirama negara telah mengambil cuti daripada pengajian PhD dalam bidang kesihatan mental di Dublin, Ireland semata-mata untuk memastikan sasaran enam pingat emas Sukan SEA 2017 yang bakal diadakan esok tercapai.

Dr. Farrah Hani juga merupakan salah seorang pakar pembedahan plastik dan rekonstruktif yang tersohor di negara ini, serta menggalas tugas sebagai Ketua Unit tersebut di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Dengan pelbagai tanggungjawab yang digalasnya, beliau sangat fokus terhadap setiap perkara yang dilakukannya. Oleh yang demikian, beliau sangat berharap ahli gimnas pasukan kendaliannya turut memberi tumpuan yang sama seperti dirinya.

Beliau mengakui menerima tekanan apabila ramai yang memberi jangkaan tinggi terhadap pasukan beliau. Namun sebagai pengurus pasukan, beliau hanya meminta satu perkara daripada anak-anak buahnya iaitu untuk melakukan yang terbaik.

Pertandingan tiga hari yang akan bermula Sabtu ini bakal menyaksikan lapan pingat emas dipertandingkan iaitu acara berpasukan, individual all-around, riben, hoop, ball, clubs dan two for group exercise.

Dr. Farrah- Hani menasihatkan ahli pasukannya agar tidak mengambil mudah terhadap lawan mereka daripada negara lain seperti Thailand, Singapura, Indonesia dan Vietnam.

“Pasukan Thailand dan Singapura merupakan saingan utama, tetapi kita perlu berhati-hari dengan Vietnam yang prestasinya semakin baik.

“Bagaimanapun kita sebagai tuan rumah akan cuba lakukan yang terbaik,” katanya kepada mStar

Sebagai rekod,  acara gimnastik berjaya membawa balik  dua pingat emas dari Singapura dua tahun lalu.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close