AntarabangsaIsu SemasaPolitik

4 Duta Rusia Maut Dalam Tempoh 9 Bulan

Seramai 4 orang duta Rusia dilaporkan telah meninggal dunia sejak 9 bulan lalu dalam beberapa insiden yang berlainan.

Insiden pertama bermula pada bulan Disember tahun lepas, apabila duta Rusia ke Turki, Andrey Karlov, ditembak sehingga mati di sebuah pameran seni di Ankara oleh seorang pegawai polis.

Pada waktu itu, Karlov yang berusia 62 tahun sedang menyampaikan ucapannya, namun pegawai polis yang tidak bertugas bernama Mevlut Mert Altintas secara tiba-tiba masuk ke dalam bangunan tersebut lalu melepaskan tembakan.

“Jangan lupa Aleppo, jangan lupa Syria!”, jerit Altintas selepas menembak duta tersebut.

Kes yang kedua pula menyaksikan kematian duta Rusia ke India, Alexander Kadakin yang menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 68 tahun akibat kegagalan jantung pada bulan Januari tahun ini.

6 bulan lalu pula, Vitaly Churchil, duta Rusia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah tumbang di pejabatnya di bandar New York, Amerika Syarikat.

Churkin, 64, dilaporkan berada dalam keadaan tidak sihat dan dibawa ke Columbia Presbyterian Hospital, di mana beliau kemudian meninggal dunia pada 20 Februari 2017.

Insiden kematian yang terkini melibatkan duta Rusia ke Sudan, Mirgayas Shirinskiy yang berusia 62 tahun.

Memetik laporan Sky News, beliau ditemui mati dalam kolam renang di rumahnya, dan menurut Kementerian Luar Rusia, punca kematian dipercayai akibat serangan jantung sekali gus menjadikan beliau diplomat negara itu yang keempat meninggal dunia.

Jurucakap Kementerian itu, Maria Zakharova berkata, mayat Shirinskiy ditemui pada jam 6 petang pada hari Rabu, di tempat kediamannya di Khartoum (ibu kota Sudan).

Pegawai-pegawai kerajaan Sudan menyatakan bahawa siasatan awal menunjukkan kematian tersebut disebabkan punca semula jadi.

Setakat ini, tiada petunjuk kes itu mempunyai sebarang unsur jenayah.

Menurut laman web Kedutaan Rusia, Shirinskiy telah menjadi seorang diplomat sejak tahun 1977 dan boleh bertutur dengan fasih dalam bahasa Arab dan Inggeris, selain bahasa ibundanya.

Beliau menamatkan pengajian di Moscow Institute dalam bidang Perhubungan Antarabangsa, dan dilantik menjadi duta ke Khartoum pada tahun 2013.

Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai duta ke Rwanda, dan turut memegang beberapa jawatan diplomatik di Mesir, Arab Saudi dan Yaman.

“Beliau (Shirinskiy) mendedikasikan hidupnya kepada diplomasi. Kami mengucapkan takziah kepada keluarganya dan orang-orang tersayang,” kata jurucakap kementerian luar.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close