#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Sabah Menawarkan Udara Segar Untuk Pelancong Yang Ingin Melarikan Diri Daripada Pencemaran


 

Sabah menawarkan dirinya sebagai destinasi “pembersihan paru-paru” untuk pelancong yang ingin melepaskan diri daripada pencemaran yang terdapat di negara asal mereka.

Ingin memasuki pasaran China, Jepun dan Korea Selatan yang semakin berkembang, Lembaga Pelancongan Sabah menawarkan kepada pelancong persekitaran gunung dan udara sungai yang segar di kawasan desa yang terdapat sepanjang Banjaran Crocker.

Produk pelancongan yang ditawarkan Negeri Sabah adalah persekitaran semulajadinya yang segar

“Kami sedang bekerjasama dengan komuniti tempatan untuk menjadi  hos bagi pelancong dalam pelbagai aktiviti alam semulajadi – dari berkhemah di tepi sungai ke mendaki bukit,” kata pengerusi lembaga pengarah Datuk Joniston Bangkuai tentang perancangan untuk RoadShow Pelancongan Desa dari 4 hingga 6 Ogos.

Bangkuai berkata tumpuan utama adalah  kepada produk semula jadi seperti yang terdapat di  Kadamaian, Kiulu, Ranau dan Tambunan di kaki bukit Gunung Kinabalu, sepanjang bahagian utara ke selatan Sabah.

Beliau berkata organisasi berasaskan komuniti di kawasan ini menawarkan pelbagai produk daripada berakit di sungai, perkhemahan, mendaki gunung,  memancing, selain peluang untuk menyelami budaya tempatan, makanan dan aktivti luar rumah  kepada pelawat.

“Tujuan asal adalah supaya penduduk kampung dapat menjana pendapatan sambil memastikan para pelancong tertarik untuk menetap lebih lama di kawasan luar bandar,” kata Bangkuai sambil menambah bahawa langkah itu juga adalah untuk menggalakkan penduduk setempat untuk menghargai dan memelihara alam semulajadi.

Pemandangan langit biru di Kundasang

Bangkuai berkata lembaga itu sedang bekerjasama dengan jawatankuasa pelancongan yang terdapat di pejabat daerah untuk mengenal pasti lebih banyak bidang untuk diceburi bagi pelan ini.

Beliau berkata terdapat permintaan untuk produk-produk pelancongan seperti yang ditawarkan  komuniti Kampung Talungan di Kota Belud  sehinggakan mereka memperoleh pendapatan sebanyak RM100,000 daripada 30,000 pelawat yang berkhemah di sungai Kadamaian dan melakukan aktiviti luar yang  lain.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.