Isu SemasaTempatan

Pencapaian Universiti Di Malaysia Yang Membanggakan 2017

Malaysia telah merekodkan pelbagai pencapaian yang membanggakan tahun ini. Ini juga berlaku dalam sektor pendidikan negara apabila kedudukan dunia kesemua Universiti Penyelidikan Malaysia telah meningkat dalam senarai ranking dunia QS World University Rankings 2017/2018.

Kementerian Pendidikan Tinggi turut membuat singkatan untuk kejayaan yang dicapai setakat ini dengan satu perkataan/konsep iaitu UMAR.

U bermaksud Universitas 21 atau Kedudukan Sistem Pengajian Tinggi Nasional U21 di mana kedudukan sistem pengajian Malaysia berada di tangga ke-25 dunia. Ini merupakan suatu peningkatan yang baik apabila Malaysia naik 11 tangga sejak 2012.

U21 merupakan konsortium universiti penyelidikan antarabangsa dan kedudukan ini adalah berdasarkan kajian yang berpangkalan di University of Melbourne.

Apa yang lebih membanggakan ialah Malaysia meraih tempat ke-11 dalam kategori ‘sumber’ (resources) mendahului negara-negara hebat seperti Britain, Hong Kong, Jerman dan Jepun. Dalam peringkat pembangunan ekonomi, Malaysia pula berada di tempat pertama.

Huruf ‘M‘ pula mewakili ‘Malaya‘ ataupun Universiti Malaya (UM) yang mendapat kedudukan 114 dalam QS World University Rankings 2018.

Ia merupakan peningkatan yang signifikan apabila UM telah naik 53 anak tangga sejak tahun 2013. Walaupun di tangga 114 yang kelihatan masih jauh ketinggalan tetapi ia berada di kedudukan yang lebih tinggi berbanding beberapa universiti terkenal dunia seperti Cardiff University, Newcastle University dan RMIT.

A pula bermaksud lima universiti terbaik di ASEAN (A). Dalam negara-negara ASEAN, Malaysia mempunyai lima universiti yang tersenarai dalam lapan universiti terbaik ASEAN setelah Nanyang University dan National University of Singapore. Chulalongkorn University, Thailand pula tersenarai pada kedudukan ke-6.

R mewakili ‘Research Universities’ (Universiti Penyelidikan) yang dikatakan berada di kedudukan teratas dunia dalam kedudukan QS.

Ini adalah berdasarkan 26,000 universiti dalam dunia dan lima Universiti Penyelidikan Malaysia (UM, USM, UKM, UPM dan UTM) berada dalam kedudukan 264 ke bawah iaitu kelompok satu peratus universiti penyelidikan terbaik di dunia. Kedudukan dunia bagi lima universiti ini meningkat setiap tahun telah menunjukkan dedikasi dan usaha keras institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Kejayaan ini merupakan kejayaan setelah 10 tahun pelaksanaan Universiti Penyelidikan Malaysia hasil daripada inisiatif Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mustapa Mohamed  yang kini menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia serta Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Besar Johor sekarang).

Kini, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh meneruskan kejayaan dan pembangunan universiti-universiti ini.

Walaupun kejayaan yang diraih adalah suatu yang membanggakan tetapi kita boleh mengambil beberapa pengajaran daripada hasil kedudukan tersebut. Memetik TheStar, penulisnya telah mencadangkan beberapa penambahbaikan yang boleh diambil dari kejayaan ini.

Menurutnya, walaupun Malaysia menduduki tangga ke-11 dari segi sumber, tetapi Malaysia mendapat kedudukan ke-39 dari segi output. Ini menunjukkan terdapat cara penggunaan dana yang tidak tepat dan kadar kecekapan yang perlu ditingkatkan.

Kolaborasi antara institusi dan universiti juga harus dipertingkatkan bukan sekadar berhenti setelah menandatangani memorandum persefahaman tetapi ke arah kolaborasi mendalam dan lebih berkualiti untuk menghasilkan produk yang lebih berinovasi serta mempunyai nilai komersil dan ruang untuk memberi peluang kepada para pelajar mendapat tempat di insititusi yang boleh meningkatkan kemahiran mereka.

Selain itu, penulis menyarankan peningkatan kualiti pendidikan yang menyangkut impak pengajaran dan pembelajaran kerana apabila penekanan diberikan terlalu berat ke atas penyelidikan, kemungkinan kualiti pelajar yang dihasilkan tidak seberapa dan ini akan menjejaskan kualiti universiti tersebut apatah lagi pelajar yang keluar dari universiti akan mencerminkan kualiti pengajaran universiti terbabit.

Oleh yang demikian, pentingnya universiti-universiti ini menjaga kualiti pengajaran mereka untuk memastikan kadar pengambilan graduan bekerja meningkat seiring kenaikan kedudukan universiti terbabit.

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close