AntarabangsaIsu Semasa

Militan Guna Kanak-Kanak Sebagai ‘Bom Manusia’

Bilangan kanak-kanak yang digunakan sebagai ‘bom manusia’ oleh kumpulan militan telah meningkat sebanyak empat kali ganda pada tahun ini.

Menurut Agensi Kanak-Kanak PBB (Unicef), sekurang-kurangnya 83 orang kanak-kanak digunakan oleh militan pada permulaan tahun ini untuk melancarkan serangan terhadap orang awam dan pusat pemeriksaan tentera Nigeria.

Memetik laporan Independent UK, kumpulan Boko Haram mengaku bertangunggjawab ke atas kebanyakan serangan yang dilakukan.

Daripada 83 orang kanak-kanak tersebut, 55 orang adalah perempuan dan 27 lelaki, manakala 1 lagi adalah bayi yang diikat pada badan salah seorang kanak-kanak perempuan.

Kebanyakan anak-anak gadis itu dikatakan berusia di bawah 15 tahun.

Militan Boko Haram – Sumber: www.pulse.ng

Pegawai tentera di Timur Laut Nigeria berkata, kanak-kanak itu sering diarahkan untuk pergi ke kawasan-kawasan sibuk yang mempunyai ramai orang, termasuk pasar.

Ujar tentera lagi, bahan letupan yang dibawa oleh kanak-kanak berkenaan kadang kala diletupkan dari jarak jauh.

Lebih menyedihkan, terdapat beberapa insiden di mana kanak-kanak yang terlibat takut untuk mendekati kawasan pemeriksaan dan terus meletupkan bom yang dibawa bersama mereka tanpa mencederakan sesiapa.

Pekerja-pekerja bantuan Unicef menyifatkan insiden-insiden seperti ini sebagai penggunaan “bom manusia” dan bukan pengebom berani mati, kerana kanak-kanak tersebut adalah mangsa, bukan pesalah.

“Kanak-kanak yang digunakan sebagai ‘bom manusia’ adalah mangsa, bukan pelaku (pengebom berani mati),” kata Unicef dalam satu kenyataan pada hari Selasa.

Statistik terkini menunjukkan peningkatan drastik daripada tahun 2016.

Pada tahun lepas, organisasi itu mendokumentasikan 19 kes yang melibatkan pengunaan kanak-kanak sebagai bom manusia di Timur Laut Nigeria, Republik Niger, Cameroon dan Chad pada waktu itu.

Kanak-kanak yang berjaya melarikan diri dari cengkaman militan melaporkan bahawa mereka hanya dibayar 0.50 pound (RM 2.74) bagi melancarkan ‘serangan’ untuk militan yang berjanji mereka akan masuk syurga selepas melakukannya.

Sejak pemberontakan tercetus pada tahun 2009, Boko Haram menyasar untuk mewujudkan ‘khalifah’ di Timur Laut Nigeria serta negara-negara jiran, dan lebih daripada 2 juta orang awam telah dipindahkan.

Awal tahun ini (bulan Februari), negeri Borno, salah satu kawasan yang paling terkesan, mencatatkan hampir 100,000 kematian hasil daripada konflik 8 tahun itu.

Dalam pada itu, lebih daripada 10,000 kanak-kanak telah hilang dalam tempoh tersebut dan kira-kira 40,000 menjadi anak yatim.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close