AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Mengapa Populariti Macron Jatuh Seperti Trump?

Di pelbagai negara, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dilihat sebagai simbol harapan dan pemimpin muda yang akan melaksanakan pembaharuan radikal dalam struktur pentadbiran dan ekonomi Perancis.

Macron mencatatkan kemenangan besar pada pilihan raya presiden bulan Mei lalu, tetapi populariti beliau dilaporkan semakin merudum walaupun baru tiga bulan memegang jawatan tersebut.

Penganalisis politik berkata, populariti presiden muda itu telah pun dijangka akan jatuh.

Berdasarkan tinjauan pendapat terkini YouGov yang diterbitkan pada awal bulan Ogos,  hanya 36% rakyat negara itu yang masih menyokongnya berbanding ketika pusingan kedua pilihan raya pada 7 Mei yang menyaksikan sokongan 66%.

Kejatuhan itu dilihat hampir sama dengan jumlah terkini rakyat Amerika Syarikat (AS) yang masih menyokong presiden Donald Trump.

 

TIDAK MENGHORMATI TENTERA

Ketua Tentera Perancis, Pierre de Villiers yang meletak jawatan kerana bantah rancangan Macron – Sumber: www.liberation.fr

Pengarah Penyelidikan YouGov France, Antoni Minniti berkata, antara faktor kejatuhan populariti Macron adalah kekurangan rasa hormatnya kepada tentera Perancis.

Selepas pelantikannya sebagai presiden, Macron terus memberi ‘fokus’ terhadap perbelanjaan ketenteraan.

Ia merupakan satu langkah yang sudah dijangka memandangkan beliau telah berikrar untuk memotong perbelanjaan kerajaan untuk memastikan Perancis selaras dengan garis panduan bajet Kesatuan Eropah (EU).

Walaupun Macron berjanji untuk meningkatkan perbelanjaan tentera pada tahun depan, beliau tetap akan meneruskan rancangannya untuk memotong hampir AS$1 bilion (RM 4.2 bilion) daripada jumlah keseluruhan AS$37 bilion (RM 158 bilion) bajet tahunan tentera bagi tahun 2017.

Tentera menganggap langkah tersebut sebagai ‘pengkhianatan’ kerana bajet penuh amat diperlukan untuk membanteras keganasan yang semakin berleluasa.

Setelah dikecam oleh Macron kerana tidak bersetuju dengan pemotongan bajet itu, Ketua Tentera, Jeneral Pierre de Villiers meletak jawatannya sebagai tanda protes.

“Tentera Perancis berada dalam keadaan yang amat sukar,” kata bekas Jeneral Perancis, Vincent Desportes sambil menambah bahawa langkah itu telah mengubah struktur tentera sejak 25 tahun lalu.

“Secara asasnya, kita memerlukan bantuan. Macron kata beliau akan menyediakan bantuan itu, tetapi perkara pertama yang beliau lakukan adalah menarik balik kata-katanya,” ujar Desportes.

Dalam pada itu, puak konservatif dan penyokong-penyokong tentera yang lain turut membantah dan menyifatkan keputusan Macron sebagai ‘tidak berdiplomatik’.

 

TIDAK CUKUP PENGALAMAN

Macron bersama anggota-anggota kabinet – Sumber: en.rfi.fr

Sudhir Hazareesingh, seorang pakar dalam politik Perancis di University of Oxford melabel ahli-ahli parlimen dalam parti Macron sebagai ‘sekumpulan individu yang tidak berpengalaman’.

“Mereka masih tidak biasa dengan prosedur parlimen…dan kumpulan itu tidak berapa kohesif seperti yang diharapkan,” katanya.

Memetik laporan South China Morning Post, pemimpin muda itu juga memiliki kuasa yang lebih luas berbanding rakan-rakan sejawatannya dari negara Barat lain, termasuk kuasa untuk membubarkan parlimen.

“Ia adalah satu malapetaka dalam sistem presiden,” ujar Hazareesingh.

 

ENGGAN BERINTERAKSI DENGAN MEDIA

Macron bersama media sebelum menjadi presiden – Sumber: www.thelocal.fr

Parti pimpinan Macron, République En Marche atau Republic on the Move, merupakan parti ‘segar’ yang ditubuhkan pada tahun lepas.

Walaupun sudah tiga bulan memegang jawatan presiden, beliau seolah-olah ‘berat hati’ atau enggan memberi peluang kepada media untuk mengadakan sesi temubual dan lebih suka untuk menyampaikan ucapan-ucapan panjang.

Satu tinjauan pendapat oleh Ifop mendapati bahawa populariti Macron dalam tempoh tiga bulan perkhidmatannya lebih teruk berbanding beberapa bekas presiden negara itu seperti Francois Hollande, Nicholas Sarkozy dan Jacques Chirac.

Namun sebelum berkhidmat sebagai pemimpin, beliau lebih terbuka untuk ditemubual oleh pihak media.

 

SKANDAL GELARAN ‘WANITA PERTAMA’

Bridgitte, isteri Presiden Macron – Sumber: www.independent.co.uk

Awal bulan ini, ratusan ribu rakyat Perancis membantah rancangan Macron untuk memberi gelaran ‘First Lady’ (Wanita Pertama) kepada isterinya, Brigitte Macron.

Ketika berkempen dalam pilihan raya, beliau pernah menyatakan bahawa sebarang jawatan yang dipegang oleh isterinya tidak akan melibatkan dana awam.

Sekiranya Brigitte memegang jawatan Wanita Pertama, beliau akan mendapat akses kepada dana awam selain daripada diberi pejabat dan kakitangannya sendiri.

Lebih memburukkan keadaan, Macron memutuskan untuk melantik isterinya itu ketika beliau bersedia untuk meluluskan undang-undang yang melarang kerajaan melantik ahli keluarga untuk memegang sebarang jawatan rasmi.

Oleh itu, beliau dituduh menjadi ‘hipokrit’ ia langkah berkontroversi itu bercanggah dengan pendiriannya yang mengecam nepotisme dalam sistem politik Perancis.

Namun, pelantikan isterinya itu tidak diteruskan selepas sebuah petisyen atas talian yang membantah langkah itu meraih lebih daripada 300,000 tandatangan.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker