Isu SemasaTempatan

Wanita Melayu Islam Mangsa Utama Buli Siber

Wanita merupakan golongan yang sering menjadi mangsa kepada keganasan di atas talian (online abuse).

Di Malaysia, ramai wanita, tidak kira latar belakang bangsa atau agama menghadapi perkara ini, namun menurut kumpulan aktivis, wanita Muslim menjadi sasaran utama pembuli kerana beberapa faktor sosial.

Aktivis hak asasi wanita, Juana Jaafar berkata, wanita Islam, khususnya Melayu Islam, disasarkan dengan cara yang berbeza.

“Kami melihat sebuah trend di mana wanita Islam (khususnya Melayu Islam) menjadi sasaran dengan cara yang berbeza, terutamanya mengenai bagaimana mereka membawa diri mereka,” katanya.

 

IMPIAN DIKECAM KERANA TIDAK BERHIJAB

Memetik laporan BBC, Juana mengikuti sebuah kes buli atas talian yang melibatkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.

Gadis tersebut menyuarakan impiannya untuk menjadi perdana menteri wanita Malaysia pertama di laman Twitternya awal tahun ini namun dia dikutuk hanya kerana tidak memakai hijab.

Beliau berkata, ‘serangan’ terhadap remaja itu menjadi terlalu “brutal” sehingga dia terpaksa membuang akaun laman sosialnya dan mencari bantuan.

“Sememangnya jika anda mempunyai nama Melayu, anda terus menjadi terdedah (diperhatikan).”

Gangguan seperti ini amat mudah untuk berlaku dalam kalangan masyarakat kita.

Mengapa? Kerana ia berpunca daripada sikap atau budaya suka “menjaga tepi kain orang”.

Budaya mengaibkan orang lain ini bukanlah perkara baru dalam kalangan masyarakat konservatif kerana ia telah ‘dipraktikkan’ sejak zaman dahulu lagi.

Kini, sikap negatif ini ‘selaras dengan peredaran zaman’, di mana ia mula diamalkan secara atas talian pula oleh individu-individu yang mempunyai mentaliti kolot.

Ujar Juana, sikap ini lebih kepada isu budaya berbanding agama.

“Agama tidak menggalakkan sikap “jaga tepi kain”. Terdapat hadis yang bercakap tentang menghormati privasi (orang lain),” tambah beliau.

 

TWITTER PLATFORM ‘CACI MAKI’ WANITA

Pensyarah Pengajian Jantina di Universiti Malaya, Dr Alicia Izharuddin menyatakan bahawa gejala ini berlaku di seluruh dunia, namun ia berada pada tahap yang lebih tinggi di Malaysia kerana mengintepretasi/mentafsir agama dengan pemikiran yang sempit.

“Orang ramai tidak menggunakan nama sebenar mereka di laman sosial sebagai cara untuk menjustifikasi ucapan kebencian dan buli siber,” katanya.

Sekarang ini, semakin ramai wanita muda Malaysia yang menggunakan media sosial, khususnya Twitter, untuk membincangkan isu-isu wanita.

Namun, ia juga menyebabkan gangguan-gangguan seperti ini berlaku dengan lebih kerap.

Seorang pengguna Twitter bernama Maryam Lee, 25, telah dikutuk dan dihina dengan teruk selepas memutuskan untuk tidak memakai hijab.

“Ia bukan hanya tentang orang ramai tidak menyukai pandangan anda, ia adalah tentang orang ramai memusnahkan kewujudan anda seluruhnya, keyakinan diri anda,” katanya.

 

BADAN WANITA ADALAH ‘MEDAN PERTEMPURAN’

Dalam kes-kes lain, memakai solekan keterlaluan, pakaian terlalu ketat, atau mempunyai badan yang ‘chubby’ (tembam) juga dilihat sebagai kesalahan yang membuatkan wanita lebih terdedah dengan keganasan berdasarkan jantina.

 Sebagai contoh, pakaian dan penampilan Dyana Sofya, jawatankuasa eksekutif Pemuda DAP, sering menjadi bahan kutukan di laman web gossip tempatan.

Dyana berkata, tubuh badan wanita ibarat ‘medan pertempuran’ bagi lelaki, di mana mereka sering menjadikannya sebagai topik perbincangan.

“Seorang wanita mungkin menutup dirinya dari kepala hingga kaki, tetapi seseorang akan masih merungut bahawa penutupan (aurat) tidak cukup labuh atau panjang,” katanya dalam sebuah e-mel.

Satu lagi kes melibatkan pengguna Twitter bernama Nalisa Alia.

Hanya kerana mempunyai pandangan berbeza mengenai patriarki dan LGBT, Nalisa bukan sahaja dikritik atas pandangannya itu, namun tubuh badannya juga menjadi bahan maki hamun pengguna lain.

“Orang lain yang tidak boleh terima pandangan saya telah menyerang penampilan saya, terutamanya badan saya kerana saya tembam,” ujarnya.

Selain itu, kebanyakan wanita menyatakan bahawa segala caci maki terhadap mereka kebanyakannya dilakukan oleh lelaki Islam.

 

TIADA UNDANG-UNDANG KHUSUS

Setakat ini, masih tiada undang-undang berasaskan jantina di Malaysia yang melindungi wanita daripada keganasan atas talian, kerana masih mempunyai persepsi bahawa apa yang berlaku di atas talian tidak dianggap sebagai insiden “kehidupan sebenar”.

Budaya internet yang berubah-ubah juga menyukarkan aktivis untuk mencadangkan undang-undang yang relevan untuk menangani isu ini.

“Anda boleh meluluskan undang-undang tersebut hari ini, tetapi jika sesuatu berubah nanti, ia tidak boleh digunakan lagi,” kata Serene Lim yang melakukan penyelidikan untuk kebebasan internet wanita menerusi NGO tempatan bernama EMPOWER.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close