AntarabangsaIsu Semasa

UAE Bakal Lancar Program Nuklear Pertama Menjelang 2018

Emiriah Arab Bersatu (UAE) dijangka akan melancarkan program nuklear mereka menjelang tahun 2018, iaitu yang pertama dalam sejarah dunia Arab.

Puluhan kakitangan di Federal Authority for Nuclear Regulation (FANR) yang berpangkalan di Abu Dhabi sedang melakukan semakan ke atas dokumen permohonan Barakah Nuclear Energy Plant yang mempunyai 15,000 muka surat itu.

Penjana kuasa tersebut terletak di seberang Teluk dari Iran, di mana negara itu juga mempunyai program nuklear mereka tersendiri yang penuh kontroversi.

Memetik laporan Arab News, penjana kuasa Barakh akan menjadikan UAE sebagai negara Teluk pertama yang mempunyai program tenaga nuklear yang aman.

Menurut Emirates Nuclear Energy Corporation (ENEC),  program Aman Tenaga Nuklear UAE akan dikuatkuasakan sepenuhnya menjelang tahun 2020, di mana 4 buah reaktor nuklear akan menyediakan hampir 25% keperluan elektrik negara itu.

Pada asalnya, reaktor yang pertama sepatutnya akan mula menjana tenaga pada tahun ini, tetapi ENEC baru-baru ini mengumumkan penggunaannya akan ditangguh sehingga tahun 2018 atas sebab-sebab teknikal.

“Kami menerima permohonan untuk satu reaktor pada Mac 2015 dan telah mengkajinya sejak itu,” kata ketua pengarah FANR, Christer Viktorsson, yang bertanggungjawab menyelia peraturan dan perlesenan program nuklear berkenaan.

Beliau berkata, pihak berkuasa persekutuan telah mengajukan lebih 1,000 soalan kepada ENEC sejak tahun 2015 – dan proses perlesenan masih belum selesai.

“Ia adalah permohonan yang amat besar. Terdapat beberapa perkara yang kami masih mempunyai persoalan.

“Kita perlu mengesahkan…bahawa mereka mempunyai pelan keselamatan, seperti pelan kecemasan, dan sekiranya kemalangan berlaku mereka boleh menguruskannya,” katanya.

Pada bulan April lalu, ENEC melaporkan bahawa pembinaan 4 unit penjana kuasa itu telah 80% siap, di mana persiapan bagi reaktor pertama sudah mencapai 95%.

Menurut ENEC, pasukan operasi dan pelan kontingensi juga telah bersiap sedia, dan Viktorsson yakin bahawa syarikat itu akan mampu melancarkan program tersebut pada tahun depan.

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker