AntarabangsaIsu Semasa

Mahkamah India Haramkan ‘Cerai Talak Tiga’

Mahkamah Agung di India telah memutuskan untuk mengharamkan ‘penceraian segera’ atau ‘talak tiga’ sambil menyifatkan amalan itu sebagai tidak berperlembagaan.

Dalam kehakiman 3:2 majoriti itu, mahkamah berkata “amalan itu tidak bersifat integral dengan amalan agama dan melanggar moral perlembagaan.”

Mahkamah itu juga telah meminta kerajaan persekutuan untuk meminda undang-undang supaya ia dapat dikuatkuasakan dengan segera.

Keputusan itu telah memberi kelegaan besar kepada hampir 90 juta wanita Islam di negara itu yang menjadi mangsa penganiayaan suami mereka.

Talak tiga memberi kuasa kepada suami untuk menceraikan isteri dengan segera tanpa sebarang saksi, namun ramai lelaki di negara itu mengambil kesempatan serta menyalahgunakan kuasa ini.

Sharaya Bano – Sumber: news.sky.com

Malah, platform-platform sosial seperti pesanan teks, WhatsApp dan Skype semakin aktif digunakan sebagai perantara untuk melafazkan cerai.

Inilah yang terjadi kepada seorang wanita bernama Shayara Bano, yang selama ini amat takut kepada perkataan ‘talak’ sehinga ia benar-benar menimpanya.

Laporan Sky News berkata, perkataan ‘talak’ ditulis sebanyak tiga kali pada sebuah nota yang ditandatangani oleh suami Sharaya sendiri sekali gus menamatkan perkahwinannya selama 15 tahun.

Sepanjang tempoh rumah tangganya, wanita berusia 35 tahun itu dilaporkan terpaksa berhadapan pelbagai bentuk penganiayaan.

Antaranya adalah penderaan, dipaksa untuk menggugurkan kandungan berkali-kali dan suami Bano juga melarangnya untuk tinggal bersama dua orang anaknya.

Kes penceraiannya dibawa ke mahkamah keluarga, namun tidak berjaya untuk mencari penyelesaian.

Kemudian, Sharaya membawa kes tersebut ke Mahkamah Agung untuk memperoleh kesamarataan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan India kepada setiap rakyat.

Sementara itu, keluarganya turut diugut oleh segelintir pihak yang mendakwa mereka ‘mencabar’ amalan agama dan kononnya memburukkan agama Islam.

“Kehidupan wanita Islam ibarat neraka kerana perkara ini (penceraian) dan mereka tidak mendapatkan keadilan. Keluarga dimusnahkan dan masa depan anak-anak berada dalam bahaya,” kata Sharaya.

Selain itu, seorang hakim wanita Islam bernama Jahan Ara, 45, juga pernah mengalami insiden penceraian yang tidak adil.

Selpas bertahun-tahun mempelajari ajaran Islam, Jahan tekad membantu wanita-wanita lain yang menjadi mangsa untuk memperjuangkan hak mereka.

“Hari ini wanita Islam tidak dibenarkan untuk menjalani kehidupan berlandaskan Islam, ini adalah kerana misogyny (kebencian terhadap wanita).

“Kita perlu menamatkan ini sekarang dan beri para wanita hak mereka semula, sebab itu kita perlu mempelajari Al-Quran untuk mengetahui kedudukan kita,” kata beliau.

.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close