SukanTempatan

Majlis Pembukaan Sukan SEA 2017 Telah Sempurna Dilaksanakan

Selepas 16 tahun, Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah untuk Sukan SEA ke-29.

Upacara perasmian pembukaan Sukan SEA 2017 yang diadakan di Bukit Jalil Sabtu lepas telah menarik kehadiran pelbagai kaum dari seluruh Malaysia untuk memberi semangat kepada atlet-atlet negara.

Turut kelihatan di kalangan ramai adalah penyokong negara jiran yang hadir untuk memberi sokongan kepada atlet mereka.

Walaupun cuaca panas, kemeriahan disaksikan dengan pelbagai aktiviti yang menarik bagi pengunjung sebelum memasuki stadium Bukit Jalil.

Pada jam 3 petang, iaitu 5 jam sebelum acara pembukaan dijalankan, suasana di stadium Bukit Jalil sudah pun meriah dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan di beberapa khemah di perkarangan stadium Bukit Jalil.

Barangan cenderamata Sukan SEA 2017 seperti pakaian baju juga dijual. Pelbagai reka bentuk dan warna baju ditawarkan untuk pengunjung seperti reka bentuk wau dan baju yang mewakili negara ASEAN yang lain.

Semangat kesukanan tahun ini jelas kelihatan apabila khemah tersebut sesak dan baju yang kehabisan banyak saiz. Turut kelihatan di kalangan pembeli adalah pengunjung dari negara barat yang hadir untuk menyambut kemeriahan.

Antara aktiviti yang dijalankan untuk para hadirin adalah permainan Virtual Realiti (VR) serta permainan untuk kanak-kanak bagi memeriahkan lagi suasana.

Terdapat juga penjual yang menjual cenderamata seperti mafla berwarna kuning dan hitam yang melambangkan simbol sukan Malaysia iaitu Harimau Malaya untuk meningkatkan semangat patriotisme.

Turut kelihatan adalah polis dan ambulans yang membuat rondaan bagi memantau keadaan sekiranya terdapat sesiapa yang memerlukan bantuan dalam cuaca yang terik.

Trak makanan disediakan bagi pengunjung sebelum memasuki stadium dengan pelbagai juadah. Daripada nasi lemak hingga ke makanan barat dan minuman buah-buahan yang berharga RM 5 ke atas.

Walaupun hampir setengah jam untuk menunggu giliran, orang ramai sanggup beratur bagi menghilangkan dahaga. Terdapat juga sesetengah yang memesan sehingga 6 minuman sekali.

Namun, persekitaran dan kebersihan tetap terjaga walaupun banyak trak makanan yang sedia.

Sukan SEA tahun ini mengambil kesempatan untuk meningkat kesedaran orang ramai untuk mengitar semula dengan menyediakan tong sampah berasingan.

Lori sampah akan membuat pusingan untuk mengosongkan tong sampah yang penuh dan terdapat juga sukarelawan yang mengutip sampah makanan di sekitar kawasan.

Pada jam 5 petang, orang ramai mula membanjiri masuk stadium dan titis-titis hujan mula kelihatan.

Pada 6 petang, barisan pintu masuk sudah pun panjang dan ramai mula beratur di pintu masing-masing.

Hampir 30 minit masa beratur untuk tiba di tempat pemeriksaan keselamatan di pintu masuk. Pihak polis telah diarah untuk memeriksa setiap beg yang dibawa masuk. Antara barang larangan adalah cecair, barangan tajam dan payung.

Setelah memasuki stadium, pengunjung disambut dengan ucapan selamat datang dan senyuman oleh sukarelawan berbaju oren yang bersedia membantu menunjukkan arah kedudukan mengikut tiket masing-masing.

Pada pukul 7, hujan lebat turun namun masih ramai yang beratur  di luar untuk memasuki stadium, mereka terpaksa berlindung di bawah payung ataupun memakai baju hujan yang telah dinasihatkan untuk dibawa.

Sebelum acara bermula, persembahan pancaragam daripada tujuh sekolah seluruh Malaysia telah disambut dengan sorakkan yang meriah oleh pengunjung oleh kerana mereka terpaksa membuat persembahan hujan yang lebat.

Di dalam stadium terdapat  beberapa trak makanan yang tersedia, namun barisan untuk beratur tidak terurus dan masa menunggu juga sangat lama. Terdapat juga sesetengah pengunjung yang solat di sudut-sudut kosong di persekitaran stadium kerana tempat solat yang disediakan adalah di LRT Bukit Jalil dan bilik solat yang kecil di stadium.  Ternyata ia tidak dapat menampung penonton muslim daripada 80,000 yang hadir.

Tandas juga disediakan di setiap sudut di sekeliling stadium. Namun terdapat kekurangan tisu dan sesetengah tandas bocor.

Pada pukul 8, tempat duduk telah pun penuh dan hos pada pembukaan acara iaitu Datuk Aznil Haji Nawawi, melaungkan seruan kepada pelancong daripada negara-negara yang mengambil bahagian dalam Sukan SEA 2017.

Antara negara yang mempunyai banyak pengunjung yang hadir ialah dari negara Filipina, Singapura dan Indonesia. Aznil turut menyeru kepada pengunjung untuk mengambil bahagian dalam ombak  yang telah memeriahkan lagi suasana dalam stadium itu. Setiap kerusi telah dilengkapi dengan lampu LED yang bertukar warna mengiringi setiap persembahan.

Ketibaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada jam 8.20 telah memulakan acara pembukaan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut hadir.

Persembahan pancaragam oleh Angkatan Tentera Malaysia kemudian diikuti oleh kenaikan bendera Malaysia dan persembahan bunga api.

Pada jam 8.30 malam maskot sukan SEA tahun ini iaitu Rimau mula terbang ke pentas. Orang ramai kemudian bersorak dengan tepukan gemuruh.

Kemudian atlet-atlet dari Brunei, Kambodia, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam. Lampu LED yang mengandungi nama negara dipamerkan di sekitar stadium.

Kemunculan atlet-atlet Malaysia telah menerima sorakkan yang paling kuat daripada pengunjung dengan 888 ahli yang dipimpin oleh pemenang pingat emas Datuk Marina Chin.

Pembawa bendera adalah tiga juara dunia negara iaitu Azizulhasni Awang, pingat gangsa dan juara dunia berbasikal dan keirin, penyelam Cheong Jun Hoong, yang memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Rio dan Mohd Al-Jufferi Jamari, juara dunia silat.

Pukul 9 malam penyanyi Dayang Nurfaizah mempersembahkan lagu tema Sukan SEA ke-29. Lampu stadium dimalapkan dan pengunjung melambaikan lampu telefon bimbit untuk menyalakan suasana.

Kemudian legenda sukan negara dari pasukan bola sepak Olimpik 1980 – Datuk James Wong, Datuk Shukor Salleh dan Datuk Santokh Singh, serta ahli sukan dan pemain sukan lain bawa bendera persekutuan dan bendera edisi

Susulan itu, ucapan alu-aluan daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah menyemarakkan lagi suasana.

“Apabila kita menyokong wira wirawati negara, kita tak tanya apakah bangsa mereka, apabila kita beri sorakkan semangat untuk para atlet baik di dalam stadium atau di mana jua tengelam segala perbezaan, yang timbul hanya persamaan.”

Kenyataan itu turut menerima sorakkan persetujuan daripada pengunjung.

“Biarlah sukan SEA ini menjadi medan yang menyatukan kita. Di mana 30 juta tangan bersama menggapai impian dan bintang demi memberi sokongan kepada kontinjen Malaysia dan meraikan destiny kita sebagai sebuah negara yang selama lamanya akan bersatu dan dikurniakan rahmat bahagia sentiasa. Ayuh Malaysiaku kita bangkit bersama.”

Beliau menutup ucapan dengan jeritan ‘negaraku Malaysia!’ tiga kali yang turut disorak oleh pengunjung.

Pada pukul 9.25 malam,  Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V merasmikan pembukaan Sukan SEA ke-29.

Berikutan itu, persembahan meriah dan penuh warna mempamerkan pelbagai kaum dan budaya di Malaysia.

Majlis pembukaan diakhiri dengan perarakan masuk obor kejohanan oleh barisan atlet jaguh negara, diketuai sukan boling, diikuti berbasikal, hoki, olahraga, badminton serta terjun sebelum obor kejohanan dinyalakan oleh Nur Dhabitah Sabri sebagai simbolik bermula secara rasminya temasya ini, sebelum persekitaran Stadium Nasional Bukit Jalil diterangi dengan percikan bunga api.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close